Timbalan Speaker: Antara Ahmad Maslan atau Kor Ming

0
302

DUA nama dikatakan telah dicalonkan untuk mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat yang kosong selepas penyandangnya, Datuk Seri Azalina Othman Said meletak jawatan bulan lalu.

Sumber dalaman Parlimen memberitahu, setakat ini blok kerajaan dilaporkan mencalonkan Ahli Parlimen Pontian dari Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Maslan, manakala pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Proses pemilihan berkenaan dijangka diadakan pada hari kedua persidangan Dewan Rakyat, Selasa ini, sebaik selesai sesi pertanyaan lisan, yang bermula jam 10 pagi.

“Usul (memilih Timbalan Yang Dipertua) sudah dimasukkan dalam aturan (urusan mesyuarat). Ahli Parlimen akan buat keputusan,” kata sumber itu seperti dilaporkan Berita Harian, hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebelum ini mengesahkan PH menamakan Kor Ming, sementara beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang dihubungi sebelum ini mengesahkan pencalonan Ahmad.

Sebelum ini veteran UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan Ahmad Maslan merupakan satu-satunya calon dari blok kerajaan untuk dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat baharu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here