Lelaki panjat pokok tarap maut ditembak selepas disangka kera

0
319

SEORANG lelaki di Kampung Kejapil Bekenu Miri maut selepas ditembak ketika memanjat pokok buah tarap setingggi 10 meter semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Hakemal Hawari berkata, mangsa Mohamad Hallim Jamee, 32, meninggal dunia serta-merta selepas ditembak lelaki berusia 70 tahun yang berasal dari kampung sama yang menyangkanya kera.

Kejadian berlaku pada 12 tengah hari semalam, menyebabkan mangsa tersangkut di atas pokok dan terpaksa dibawa turun oleh pasukan penyelamat.

Katanya, pihaknya meminta bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Batu Niah untuk khidmat khas menurunkan mangsa.

“Pasukan bomba menggunakan tali khas berjaya membawa turun mangsa pada jam 4.40 petang dan kita menahan suspek untuk membantu siasatan.

“Anggota turut merampas selaras senapang patah dan 13 butir peluru hidup dipercayai digunakan suspek,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan dan mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Miri untuk dibedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk pengebumian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here