Ibu, teman lelaki didakwa bunuh anak 3 tahun

0
341

SEORANG ibu yang tergamak mendera sehingga menyebabkan kematian terhadap anak kandungnya dalam kejadian di Bandar Baru Bangi minggu lalu, didakwa melakukan pembunuhan itu bersama teman lelakinya di Mahkamah Majistret Bangi, hari ini.

Pertuduhan dibaca bersama terhadap kedua-dua tertuduh oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen yang bertindak sebagai Majistret, Effandi Nazila Abdullah, namun tiada pengakuan direkodkan.

Tertuduh, Ieda Nor Esbi Baharuddin, 35, ibu kandung kanak-kanak itu dan Norazizol Baharum, 34, didakwa dengan niat secara bersama dan sengaja membunuh mangsa.

Menurut laporan Berita Harian, mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Seksyen dua, Bandar Baru Bangi, di sini antara jam 6.30 pagi hingga 10.41 malam, 2 September lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama dengan Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Prosiding kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes dan serahan laporan kimia.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner, Mohd Zaid Hassan, dalam kenyataan media hari ini, memaklumkan seorang kanak-kanak mengalami cedera parah di bahagian badan selepas disyaki didera teman lelaki ibunya di rumah sewa mereka, di sini.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia setelah dimasukkan di sebuah hospital swasta pada 2 September lalu.

“Hasil siasatan pihak polis mendapati, kedua-dua suspek mendera sehingga menyebabkan kematian mangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here