RM1.43 bilion atasi banjir, pulihara sungai

0
332

Oleh ABU UBAIDILAH RAHMAN

KEMENTERIAN Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM1.43 bilion menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan projek tebatan banjir, pemuliharaan sungai serta hakisan pantai di Johor.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, 15 projek akan dilukukan melibatkan 13 projek sambungan dan dua projek baharu.

Jelasnya, projek sambungan berkenaan diteruskan daripada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menurut beliau, daripada jumlah berkenaan, RM81.3 juta diperuntukkan untuk projek di daerah ini bertujuan mengurangkan risiko banjir termenung yang melanda sejak Ogos lalu.

“Bagi mengurangkan risiko banjir termenung, KASA melalui JPS sedang melaksanakan dua projek pembangunan iaitu menaik taraf Sistem Saliran Mesra (SMA) dan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Batu Pahat.

“Projek SMA yang telah mula dilaksanakan di dua lokasi iaitu Sungai Suloh dan Peserai ini dijangka siap mulai tahun depan.

“Ini melibatkan nilai keseluruhan sebanyak RM32.8juta bertujuan mengatasi banjir berpunca daripada masalah sistem saliran tidak sempurna, kejadian hujan lebat dan fenomena air pasang besar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melawat tapak projek RTB di Kampung Parit Basri, Sri Medan, Batu Pahat, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, projek RTB Sungai Batu Pahat pula bakal menelan belanja sehingga RM48.5 juta yang berperanan mengurangkan risiko banjir termenung akibat kejadian hujan lebat.

“Projek ini masih dalam tempoh pra-pelaksana bagi perkhidmatan perunding dan ia dijangka mengambil masa selama tiga tahun untuk siap sepenuhnya,” katanya.

Fenomena banjir termenung itu katanya, berlaku ekoran hujan lebat di kawasan Sri Medan dan di bahagian hulu iaitu diChaah dan Segamat serta kejadian air pasang besar.

“Kedua-dua projek mega ini akan memberikan manfaat buat lebih 10,120 penduduk yang sering mengalami masalah banjir termenung selain mengelakkan kerugian kepada peladang kelapa sawit di kawasan berisiko,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here