PKPD di enam lokaliti di Sabah, Pahang bermula Sabtu ini

0
291

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di enam lokaliti di Sabah dan Pahang selama 14 hari bermula 11 hingga 24 September ini.

Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, arahan itu membabitkan lima lokaliti di Sabah manakala di Pahang satu lokaliti.

“Di Sabah, lima lokaliti yang dikenakan PKPD ialah Kampung Lembah Permai dan Kampung Desa Aman di Ranau, Taman Sungai Labuk di Beluran, Sekolah Henry Gurney di Keningau dan Kampung Timug Matunggong di Kudat.

“Di Pahang, ia membabitkan Kampung Kuala Koyan, Mukim Ulu Jelai di daerah Lipis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Rodzi memaklumkan, PKPD yang dilanjutkan sehingga 24 September melibatkan tujuh lokaliti di Paka, Dungun, Terengganu.

Jelas beliau, membabitkan Bandar Paka, Gong Gemia, Cacar Baru, Limbong, Kuala Paka, Taman Indah Permai dan Telaga Mas.

“Tiga lokaliti di Sabah membabitkan, Kampung Sungai Imam di Tawau, Kampung Kapakaan di Keningau dan Kampung Paris 3 di Kinabatangan ditamatkan PKPD bermula 10 September ini seperti dijadualkan,” katanya lagi. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here