Tipu ahli keluarga mati akibat Covid-19: Penyelia kontrak Petronas didenda RM16,000, tiga tahun penjara

0
339

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEORANG penyelia kontrak mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Tinggi hari ini atas dua pertuduhan menipu rakan sekerja dengan mengatakan ahli keluarga meninggal dunia akibat Covid-19 untuk mendapatkan derma di Kompleks Bersepadu Pengerang, Jumaat lalu.

Mohd. Zahazan Zainon, 45 membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret, Nurmadiana Mamat.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh pada pukul 5.20 petang, 3 September lalu bertempat di pejabat bahagian keselamatan Kompleks Bersepadu Pengerang dengan niat menipu rakan sekerja.

Tertuduh dengan cara memperdaya memberitahu bahawa ahli keluarganya telah meninggal dunia akibat Covid-19 sedangkan itu tidak berlaku dan mendorong mangsa memasukkan wang RM7,857 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya seorang lagi rakan sekerja pada hari yang sama pada pukul 6.34 petang di lokasi sama dengan mengatakan hal sama sehingga mendorong mangsa memasukkan wang RM500 ke akaun bank tertuduh sebagai sumbangan derma.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara selama tempoh tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun dan boleh dikenakan denda.

Sebelum itu, Peguam, Nurul Hidayah Mohd. Asri yang mewakili tertuduh memohon hukuman lebih ringan kerana itu merupakan kesalahan pertama tertuduh dan menanggung empat anak hasil perkahwinan terdahulu serta dua anak yang masih bersekolah di pusat tahfiz.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Nursyamim Fateha Mohd Amin memohon hukuman berat dikenakan terhadap tertuduh serta mengambil kira kepentingan awam berbanding kepentingan peribadi.

Normadiana kemudian menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dari tarikh tangkapan, denda RM15,000 jika tidak bayar penjara lima bulan dan satu sebatan terhadap kesalahan pertuduhan pertama.

Sementara pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara dari tarikh tangkapan, denda RM1,000 jika gagal bayar boleh dipenjara sebulan dan satu sebatan, kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak.

Tertuduh yang berbaju lokap berwarna ungu sebelum itu tiba diperkarangan Mahkamah pada pukul 9.50 pagi diiringi anggota polis.

Terdahulu, suspek ditahan selepas disyaki menyebarkan berita palsu kononnya kehilangan 14 ahli keluarga akibat Covid-19 didapati meraih sumbangan sejumlah RM91,000. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here