Polis, kastam serbu gudang simpanan minuman keras, mercun seludup

0
306

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah melakukan serbuan di sebuah gudang yang dijadikan lokasi penyimpanan minuman keras dan mercun seludup diserbu dalam Op Kontraban di Jalan Pantai Berahi, Putatan, Penampang hari ini.

Menerusi operasi pada pukul 3.05 petang itu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang bersama-sama JKDM Sabah berjaya merampas minuman keras dan mercun bernilai lebih RM500,000.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd. Haris Ibrahim berkata, pihaknya menemukan 3,986 katon minuman keras dan 40,500 biji mercun pelbagai jenama dalam gudang tersebut.

“Nilai keseluruhan minuman keras dan mercun yang dirampas selepas tafsiran cukai RM502,316.

“Tiada tangkapan dilakukan ketika serbuan dilakukan dan semua barang rampasan diserahkan kepada JKDM Sabah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.

Mohd. Haris berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan barang-barang tidak berkastam.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Haris berkata, operasi yang dijalankan bersama JKDM Sabah itu adalah untuk membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di kawasan daerah ini.

“Objektif operasi bagi membanteras rangkaian pengedaran serta penjualan rokok seludup dan minuman keras tanpa cukai selain memastikan Penampang bersih daripada menjadi pusat penyimpanan barangan tanpa cukai.

“Sepanjang operasi bersepadu bersama JKDM Sabah dilaksanakan sebanyak empat kali serbuan dan rampasan berjaya direkodkan dalam tempoh dua bulan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat setempat menyalurkan maklumat bagi membanteras aktiviti penyeludupan khususnya di Penampang. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here