[VIDEO] Lamborghini hilang kawalan, hentam 4 kenderaan

0
396

SEBUAH kenderaan mewah jenis Lamborghini yang dipandu seorang lelaki tempatan terlibat dalam satu kemalangan di Jalan Tun Razak menghala ke Bulatan Pahang awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu turut menyebabkan sebuah kereta jenis Proton Perdana berwarna kelabu yang dipandu oleh seorang wanita berusia 53 tahun terbalik dan melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya.

Bagaimanapun, kesemua pemandu kenderaan yang terlibat hanya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur. 

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd. Salleh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan jenis Lamborghini yang dipandu lelaki berusia lingkungan 42 tahun dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menghala ke Bulatan Pahang.

“Lelaki terbabit telah gagal mengawal kenderaan dan telah melanggar kereta jenis Proton Perdana yang dipandu seorang wanita berusia 53 tahun, menyebabkan kenderaannya terbalik.

“Kenderaan mangsa kemudiannya telah melanggar beberapa buah kenderaan lain yang berada di hadapannya. Antara kenderaan terlibat ialah Mazda, Nissan Serena, Ford Ranger,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, siasatan akan diteruskan sekiranya terdapat kenderaan lain yang terlibat dalam insiden berkenaan.

“Kita juga telah menjalankan ujian saringan air kencing serta alkohol terhadap pemandu Lamborghini tersebut dan keputusan adalah negatif.

“Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu suatu kenderaan motor di jalan tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya atau tanpa pertimbangan yang munasabah terhadap orang lain,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here