Seludup Ivermectin dalam botol vitamin C

0
351

PENGAMBILAN Ivermectin dalam kalangan masyarakat tidak boleh dipandang ringan pihak berkuasa jika bukti terbaharu mengenai penyalahgunaan ubat tersebut yang berlaku di hospital diambil kira.

Berdasarkan satu pendedahan terbaharu ada pesakit yang tergamak menyeludup pil berkenaan dalam botol vitamin C untuk diambil setiap hari ketika menerima rawatan di salah sebuah hospital baru-baru ini.

Akibat daripada tindakan itu, pesakit berkenaan terpaksa dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selain perlu diintubasi berikutan pengambilan pil.

Perkara itu didedahkan seorang doktor dikenali Luqman Alhakim menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya ketika menceritakan kesan pengambilan Ivermectin terhadap pesakit Covid-19.

“Salah seorang pesakit menyeludup masuk Ivermectin dengan menukarkannya ke dalam botol vitamin C dan mengambil pil berkenaan setiap hari ketika berada di wad.

“Sekarang sudah masuk ICU dan diintubasi. Tolong jangan berbohong kepada kami, ia (Ivermectin) tidak selamat dan membahayakan kesihatan,” ciapnya ringkas.

Dalam pada itu, Luqman Alhakim turut meminta setiap pesakit supaya bersifat jujur dengan sejarah pengambilan ubat-ubatan serta tidak menipu doktor.

Kementerian Kesihatan sebelum ini melaporkan menerima dua kes keracunan Ivermectin.

Kes pertama melibatkan pengguna berumur 35 tahun yang mengambil 1 biji Ivermectin sehingga mengalami gejala sesak nafas yang berpanjangan selama lima hari selepas pengambilan.

Kes kedua pula, seorang warga emas dijumpai tidak sedarkan diri selepas dikatakan mengambil 15 biji Ivermectin sekaligus.

Menurut Kementerian Kesihatan, Ivermectin boleh menyebabkan kesan mudarat seperti muntah, cirit, sakit perut, dan pening.

Kesan yang teruk pula adalah tekanan darah rendah, sesak nafas, kerosakan paru-paru, dan kematian. Malangnya, tiada antidot atau rawatan spesifik untuk kes keracunan ini.

Oleh itu, elakkanlah pengambilan Ivermectin untuk rawatan kendiri.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here