30-40 gajah liar daripada lima kumpulan dikenal pasti di seluruh Johor

0
457

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

JOHOR telah mengenal pasti lima kumpulan gajah liar yang terdapat di seluruh negeri ini yang dianggarkan melibatkan sejumlah antara 30 hingga 40 ekor gajah.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, R. Vidyananthan berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor memberi perhatian serius ke atas gangguan gajah yang berlaku di Johor terutamanya di Endau.

“Mengikut rekod sepanjang tahun 2015 hingga Julai 2021, pihak Perhilitan Johor telah menerima 210 aduan konflik gajah di Kota Tinggi dan telah menjalankan 716 aktiviti pemantauan dan kawalan konflik gajah di kawasan-kawasan tersebut.

“Dalam tempoh itu, 24 Operasi Tangkapan Gajah telah dijalankan di mana sebanyak 20 ekor gajah yang menimbulkan konflik telah berjaya dipindahkan ke habitat yang baharu dengan kos pemindahan berjumlah RM1.2 juta ditanggung Perhilitan,” katanya

Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penggulungan pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14, di Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini.

Tambahnya, faktor penting wujudnya konflik antara manusia dan gajah adalah disebabkan fragmentasi hutan yang terkepung dan terputus di sebabkan oleh ladang dan jalanraya membuatkan haiwan berkenaan sukar bergerak.

“Perhilitan telah mengambil inisiatif memasang kolar satelit bagi mendapatkan maklumat terperinci berkenaan pergerakan gajah dan Perhilitan juga dalam usaha membentuk kerjasama antara ladang-ladang yang terkesan daripada serangan gajah ini.

“Buat masa ini sebanyak empat kolar satelit telah dipasang ke atas kumpulan gajah ini bermula tahun 2019 hingga 2020 di mana pergerakan kumpulan gajah ini sentiasa dipantau Perhilitan Johor.

“Pemasangan kolar satelit ini berfungsi sebagai Sistem Amaran Awal bagi mengesan pergerakan kumpulan gajah agar tindakan proaktif dapat diambil segera apabila ia mendekati kawasan perkampungan atau pertanian,” katanya.

Sementara itu, Vidyananthan turut memberitahu cadangan penubuhan Santuari Gajah Johor (JES) adalah untuk memperkasa pengurusan gajah di negeri ini dengan mengurangkan masalah gangguan gajah liar di kawasan pertanian dan penempatan.

“Antara lain fungsi JES adalah turut menyediakan peluang aktiviti berasaskan eko-pelancongan yang lestari dan mampu menjana sosio-ekonomi kepada penduduk setempat,” jelasnya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here