Salon rambut sediakan khidmat seks

0
400

POLIS Pulau Pinang menumpaskan sindiket pelacuran yang berselindung di sebalik perniagaan salon rambut unisex, selepas tertangkapnya tujuh orang termasuk tiga wanita warga asing dalam serbuan di Jalan Nibong Tebal, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais berkata, serbuan pada 4.30 petang oleh pasukan dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7), Ibu Pejabat Kontinjen Pulau Pinang itu mendapati premis berkenaan telah diubah suai di bahagian dalamnya untuk menawarkan khidmat seks kepada pelanggan.

“Sindiket itu menjalankan kegiatan menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tetap sahaja dan beroperasi melalui pintu belakang salon rambut tersebut bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu oleh pihak berkuasa.

“Pelanggan akan dihubungi penjaga melalui aplikasi WhatsApp untuk membuat tempahan perkhidmatan itu sebelum ke premis tersebut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ketika serbuan, ketiga-tiga wanita warga asing berumur dalam lingkungan 22 hingga 25 tahun sedang leka melayan tiga pelanggan yang berumur antara 43 hingga 48 tahun di bilik berasingan di dalam premis tersebut.

Menurut Rahimi, polis turut menahan tiga pelanggan dan pemilik premis itu, seorang wanita tempatan berusia 48 tahun yang dipercayai antara dalang sindiket tersebut serta penjaga wanita warga asing berkenaan.

Beliau berkata siasatan masih dijalankan untuk mengesan beberapa ahli sindiket itu yang dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

“Semua tujuh individu itu kini direman untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 372A serta Seksyen 372B Kanun Keseksaan, mereka juga dikenakan tindakan mengikut Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya. – BERNAMA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here