Feri Kuala Kedah ditutup dua minggu

0
291

PERKHIDMATAN feri Kuala Kedah ke Langkawi dihentikan selama dua minggu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kuala Kedah, bermula esok.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures Baharin Baharom mengesahkan bahawa Terminal Feri Kuala Kedah ditutup sehingga 19 September ini.

Penumpang yang keluar masuk Langkawi boleh menggunakan perkhidmatan feri yang menyediakan ‘trip’ perjalanan ke Kuala Perlis pada jam 11 pagi manakala Kuala Perlis ke Langkawi pula pada jam 1 tengah hari.

“Kita akan menambah kekerapan perjalanan sekiranya ada permintaan,” katanya dalam kenyataan memetik laporan Harian Metro.

Menurut Baharin, setakat ini perkhidmatan feri dibenarkan beroperasi dengan kapasiti penumpang 50 peratus pada satu-satu masa.

Katanya, orang ramai yang telah membeli tiket secara dalam talian boleh membuat tuntutan pembayaran balik menerusi emel tertera pada pas masuk mereka.

“Orang ramai boleh membuat tuntutan di kaunter untuk pembelian menerusi kaunter atau menukar perjalanan keluar masuk melalui Terminal Kuala Perlis,” katanya.

Semalam, Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengumumkan pelaksanaan PKPD di dua zon dalam Mukim Kuala Kedah, Kota Setar serta Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kota Kinabalu, Sabah.

Ketua Pengarahnya Rodzi Md Saad, berkata PKPD itu akan berkuatkuasa selama 14 hari bermula Isnin ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here