Berlumba kereta mewah lawan arus, polis tahan 4 lelaki

0
338

TINDAKAN empat lelaki menguji kelajuan kereta mewah dengan memandu secara melawan arus membawa padah apabila ditahan polis dalam Operasi Khas Samseng Jalanan, di Selangor, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira 11.20 malam, mereka dikatakan memecut kereta masing-masing di Lebuh Raya Shah Alam (KESAS) berhampiran Awan Besar.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, kumpulan itu ditahan dalam operasi disertai dua pegawai dan 19 anggota Unit Risikan dan Operasi JSPT Bukit Aman, antara 10 malam hingga 4.45 pagi tadi.

“Pada 11.20 malam pasukan operasi melihat dua kereta jenis Nissan GTR R35 secara melawan arus didapati bersaing secara sendiri sehingga ke susur keluar kawasan rehat dan rawat (R&R) Awan Besar.

“Pada 11.50 malam dua kenderaan lain jenis BMW M6 dan Mercedes-Benz A45 didapati melakukan aksi sama,” katanya.

Beliau berkata, semua suspek kemudiannya memberhentikan kenderaan di di kawasan parkir R&R Awan Besar dalam keadaan selamat sebelum dihampiri pasukannya.

“Kita kemudiannya menahan semua suspek yang berusia 24 hingga 34 tahun sebelum membawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut,” katanya.

Dalam operasi berasingan, lapan individu turut ditahan kerana menunggang motosikal secara berbahaya di Kilometer 16 Lebuh Raya Grand Saga arah Kuala Lumpur dan Kilometer 8.8 Lebuh Raya Persekutuan arah Klang.

“Semua individu berusia 19 hingga 22 tahun itu menunjukkan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal.

“Ada antara mereka bersaing sesama sendiri dan melakukan pelbagai aksi seperti ‘zig-zag’ serta ‘superman.’ Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk tindakan lanjut.

“Mereka disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here