Ketua Ajaran PMYT disyaki terima sumbangan RM84,721

0
250

SERBUAN di rumah wanita yang mendakwa Ketua Ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) membawa kepada penemuan resit berjumlah RM84,721, dipercayai hasil sumbangan pengikutnya.

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Superintendan Basri Sagoni, berkata resit itu dirampas bagi membantu siasatan selepas suspek berusia 39 ditahan di rumahnya jam 1.10 pagi tadi.

Beliau berkata, selain itu polis turut merampas lima unit telefon bimbit, satu kad bank dan sepasang telekung warna putih dipercayai digunakan suspek untuk membuat siaran secara langsung menerusi Facebook.

“Polis setakat ini menerima enam laporan dengan lima daripadanya dibuat di lima balai polis berbeza berkaitan isu terbabit.

“Suspek sebelum ditahan ada membuat laporan polis menafikan dan menyatakan tidak pernah mewujudkan kumpulan ajaran sesat atau apa-apa kumpulan serta ajaran bertentangan Islam.

“Dia juga menafikan semua tuduhan, termasuk tindakan yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai laporan polis, beliau berkata, satu laporan dibuat seorang lelaki berusia 28 tahun berkaitan video itu didakwa mengandungi kenyataan menghina Islam dan menimbulkan keresahan awam pada jam 3.39 petang, 29 Ogos lalu.

Katanya, sehari sebelum itu pengadu mendakwa melihat video di Youtube bertajuk ‘Mimpi Perang Dunia (Bertemu Rasulullah) Part 1’ menerusi akaun Youtube Cahaya Islam memaparkan seorang wanita bercakap mengenai mimpi kejadian Perang Dunia Ketiga (WW3) yang akan berlaku di Sabah.

“Video berdurasi sejam 11 minit tiga saat itu dimuat naik pada 30 Januari lalu di Youtube dan mendapat 50,000 tontonan, 908 tanda suka, 97 tanda tidak suka dan 511 komen. Cahaya Islam kini direkodkan mempunyai 2,380 langganan (subscribers).

“Pengadu turut membuat carian di Facebook dan mendapati wanita itu mengaku sebagai Ketua Ajaran PYMT, aktif memuat naik video di Facebook dan YouTube menceritakan perihal peperangan Dunia Ketiga di laman sosial,” katanya.

Basri berkata, siasatan awal mendapati wanita berkenaan mendakwa dirinya boleh berhubung terus dengan Allah SWT, Malaikat dan Nabi Muhammad SAW.

Katanya, suspek juga mengaku sebagai Ketua PYMT dan mendakwa mimpi perjalanan terakhir diturunkan kepada dirinya sebagai panduan untuk umat Islam lain.

“Dalam video itu juga menyatakan sesiapa yang menyakiti atau menghalang dirinya menyampaikan ajaran boleh dicabut nyawa oleh Allah SWT.

“Kenyataan dalam video ini boleh dianggap menghina kesucian Islam dan menimbulkan keresahan awam,” katanya.

Suspek direman empat hari hingga Selasa ini mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 masing-masing kerana menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan serta penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-2115 9999) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Kredit sumber: BH Online

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here