MB Selangor tangguh nyahwarta Hutan Simpan Kuala Langat Utara

0
317

SELEPAS dibantah hebat termasuk oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor sendiri, akhirnya kerajaan negeri menangguhkan keputusan kontroversi menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (HSKLU) bagi pembangunan bercampur.

Penangguhan itu diumumkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang mengesahkan Menteri Besar, Selangor Datuk Seri Amirudin Shari memberi persetujuan menangguhkan sementara keputusan berkenaan selepas mengambil kira banyak pandangan.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika mengumumkan perkara itu berkata, Amirudin akan menangguhkan nyahwarta itu sehingga selesai membuat semakan dan penjelasan berhubung isu yang dibangkitkan.

Katanya, Biro Politik menekankan bahawa sebarang keputusan berhubung hutan simpan itu mesti mempertahankan beberapa prinsip asas termasuk kepentingan penjagaan alam sekitar; urus tadbir proses perolehan serta penilaian yang telus, terbuka dan baik; serta kesan penyahwartaan HSKLU terhadap masyarakat amnya yang perlu diminimumkan.

“Ini termasuk perkara yang dibangkitkan ADUN Selangor dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Biro Politik berpuas hati setelah mendapat jaminan Menteri Besar bahawa beliau akan menangguhkan proses berhubung penyahwartaan HSKLU sehingga kerajaan negeri selesai mempertimbang dan menjelaskan kesemua isu yang telah dibangkitkan,” katanya malam tadi.

Pada sidang Dewan Undangan Negeri Isnin lalu, Exco Alam Sekitar, Hee Loy Sian berkata kerajaan negeri bersetuju menyahwartakan 536.7ha Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk dibangunkan.

Perkara itu mencetuskan kritikan termasuk daripada kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN).

Setiausaha Otai Reformis, Abdul Razak Ismail meluahkan rasa terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) itu.

Hee berkata, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984.

Katanya, jumlah keluasan yang dipersetujui adalah 54 peratus daripada 931.16ha yang dicadangkan lebih awal, selepas mengambil kira beberapa bantahan yang berbangkit.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here