Usul ganti Azhar antara diterima setakat ini

0
577

MENJELANG pembukaan sidang Dewan Rakyat pada 13 September ini pelbagai usul persendirian mula diterima daripada ahli-ahli Parlimen.

Antara usul yang dikatakan ada dihantar ialah usul bagi menggantikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Harun.

Menurut laporan Agenda Daily yang memetik sumber, difahamkan usul tersebut dihantar oleh pemimpin kanan parti politik yang dilihat tidak berpuas hati dengan prestasi Azhar sepanjang mengendalikan sesi Dewan Rakyat lalu.

Bagaimanapun, setakat ini maklumat yang diperoleh ia hanya usul persendirian dan bukan dibawa oleh pihak kerajaan.

“Usul (persendirian) untuk menukar Speaker (Yang di-Pertua) banyak diterima kali ini,” kata sumber.

Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Ketua Majlis juga dikatakan sudah menerima makluman berhubung isu untuk menukar tersebut, namun buat masa ini ia tiada dalam Aturan Mesyuarat persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Sumber memberitahu, spekulasi nama pengganti Azhar yang menjadi calon utama adalah bekas Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said yang meletak jawatannya baru-baru ini sebelum barisan Kabinet baharu diumumkan Ismail Sabri.

Azalina yang berada dalam kem Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada mulanya dikatakan tersenarai dalam Kabinet baharu, namun namanya tercicir dan tidak dilantik sebarang jawatan sebagai Menteri baharu.

Azalina sejurus peletakan jawatannya berkata berharap pengundurannya membolehkan “reset” pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Azalina adalah antara 15 MP UMNO yang menarik balik sokongan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai PM, yang menyebabkan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Semasa sidang khas Dewan Rakyat pada 26 Julai lalu, Azhar menjadi sasaran kritikan pemimpin pembangkang dan didesak meletak jawatan.

Persidangan Dewan Rakyat Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Ke-15 akan berlangsung 13 September ini, ia sepatutnya diadakan pada 6 September tetapi ditangguh seminggu menerusi pemakluman dari Setiausaha Dewan, Dr Nizam Mydin Bacha Mydin.

Sidang kali ini adalah yang kali pertama sejak Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai PM kesembilan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here