Bekalan air mula disalur, semua 463 kawasan pulih 3 September: Air Selangor

0
295

BEKALAN air bersih dan selamat mula disalurkan secara berperingkat kepada pengguna di semua kawasan terjejas di Selangor, pagi tadi susulan henti tugas loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih akibat pencemaran bau.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri berkata, bekalan air bersih dan selamat mula disalurkan pada 7 pagi tadi secara berperingkat.

Ketika ini, Air Selangor sedang berusaha menstabilkan sistem agihan bekalan air di semua kawasan terjejas.

“Bekalan air di semua 463 kawasan yang terjejas akan diterima secara berperingkat – peringkat dan dijangka pulih sepenuhnya pada 12.00 tengah malam, 3 September,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, media melaporkan LRA Sungai Semenyih itu sudah bersedia beroperasi semula selepas bacaan tahap sifar TON (nombor ambang bangar) tiga kali berturut-turut direkodkan.

Elina berkata, Air Selangor akan terus menggerakkan bantuan bekalan air alternatif kepada pengguna dan premis-premis kritikal yang terlibat.

“Sebanyak 94 lori tangki air telah digerakkan ke kawasan-kawasan pengguna yang terjejas sepanjang gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

“Air Selangor memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki,” katanya.

Katanya, Air Selangor telah menjalankan ujian kualiti air dan ia mematuhi piawaian ditetapkan Kementerian Kesihatan dan air terawat dari LRA Sungai Semenyih juga disahkan selamat oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk diagihkan kepada pengguna.- SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here