Johor terima 70,000 dos vaksin Khamis ini-TMJ

0
229

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memaklumkan, Johor akan menerima 70,000 dos vaksin Khamis ini.

Tunku Ismail berkata, dos berkenaan akan diperoleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Educity iaitu di bawah program Program Imunisasi Industri Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) Covid-19 dan dikawal selia oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

TUnku Mahkota Johor berkata, dos berkenaan susulan pertemuan Tunku Ismail dengan Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengarah Kesihatan Johor, Datuk Dr. Aman Rabu yang menghadapnya hari ini.

“Saya telah berjumpa Datuk Hasni, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Azmi Rohani, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan), Datuk Mohd. Noh Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Dr. Aman dan Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd. Noorazam Osman pada hari ini.

“Pertemuan ini bertujuan untuk mendapat laporan terkini mengenai isu kekurangan vaksin dan pembatalan temu janji untuk vaksinasi serta isu PPV Educity dan program vaksinasi pekerja kilang,” kata Tunku Ismail.

Tunku Mahkota Johor berkata demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Unit Media dan Komunikasi Istana Bukit Pelangi di sini hari ini.

Kenyataan Tunku Mahkota Johor itu turut dimuat naik dalam Facebook rasmi miliknya, HRH Crown Prince of Johor.

Tunku Ismail berkata, Inisiatif Pemimpin Advokasi Covid-19 (IPA-C) juga telah dimulakan dengan kerjasama kerajaan negeri, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) dan pemimpin komuniti tempatan.

Jelas Tunku Mahkota Johor, ini untuk melaksanakan aktiviti pendidikan kesihatan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan membantu melaksanakan ujian saringan secara bersasar.

“Kerajaan negeri telah menyediakan khemah yang lebih besar untuk Covid-19 Temporary Treatment Centre (CTTC) berhadapan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Sultan Ismail Johor Bahru.

“JKNJ juga telah memulakan sistem perkhidmatan CAC secara maya (VCAC) bagi membolehkan pesakit mendapatkan perkhidmatan kesihatan di rumah masing-masing.

“Adalah hasrat saya perjumpaan ini dapat membuka ruang untuk mencari penyelesaian terhadap isu-isu yang dihadapi oleh program vaksinasi di Johor supaya rakyat dapat diberi vaksin secepat mungkin,” kata Tunku Ismail.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here