Kastam gagalkan cubaan seludup dadah RM6.62 juta dalam kotak teh

0
261

JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup keluar 184 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine bernilai RM6.62 juta, yang disorok dalam bungkusan teh, menerusi operasi di Kompleks Kargo Udara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 16 Ogos.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, dalam operasi dilakukan sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik Kastam JKDM menemukan bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine dalam bungkusan teh yang diisi dalam kotak.

Sindiket itu menggunakan modus operandi sindiket dengan mengisytiharkan kotak-kotak tersebut sebagai alat perkakasan dapur elektrik, iaitu dikategori sebagai kargo umum bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Hasil pemeriksaan mendapati 10 daripada kotak itu berisi bungkusan teh yang di dalamnya mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah berbahaya seberat 184kg untuk diseludup ke negara-negara di Asia Pasifik.

“Turut ditahan bersama dadah tersebut, dua lelaki tempatan berusia 35 dan 43 tahun,” katanya kepada pada sidang media di Cawangan Narkotik JKDM, Kampung Jijan, Negeri Sembilan, hari ini.

Abdul Latif berkata, susulan rampasan itu JKDM telah melakukan serbuan di dua rumah berasingan di sekitar Nilai dan menahan dua lagi lelaki tempatan berusia 42 dan 45 tahun yang disyaki dalang sindiket tersebut.

Siasatan mendapati, kesemua yang ditahan dipercayai telah 11 kali melakukan perbuatan tersebut menggunakan modus operandi yang sama, dengan dadah diperoleh dari pasaran tempatan.

“JKDM berusaha mengesan beberapa individu lain yang dipercayai turut terlibat dengan sindiket tersebut, manakala siasatan berhubung rekod jenayah lampau termasuk hasil ujian air kencing kesemua lelaki yang ditahan masih dijalankan,” katanya.

Semua suspek direman 14 hari bermula 17 Ogos lepas dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here