Aplikasi pantau pergerakan pesakit Covid-19 bermula esok

0
387

SATU aplikasi ‘geofencing’ akan diperkenalkan esok oleh Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley (GKV STF) bagi tujuan pemantauan pergerakan pesakit Covid-19.

Aplikasi yang belum didedahkan nama ini khusus untuk pesakit Covid-19 tahap satu dan dua yang sebahagian besarnya dikuarantin di rumah.

Pesakit Covid-19 serta yang dikuarantin di rumah akan diwajibkan memasang aplikasi berkenaan di telefon bimbit dan keberadaan mereka sepanjang tempoh kuarantin dipantau pihak berkuasa.

Pihak berkuasa akan mengambil langkah segera termasuk tindakan undang-undang, sekiranya pesakit didapati keluar rumah atau berada melebihi radius yang sudah ditetapkan.

Komander Bersama GKV STF, Brigadier Jeneral Dr Mohd Arshil Moideen berkata, tujuan aplikasi ini dibangunkan dalam tempoh pandemik adalah untuk mengurangkan penularan dalam komuniti yang biasanya berlaku akibat sikap pesakit Covid-19 yang tidak bertanggungjawab.

“Projek perintis aplikasi ini akan bermula Ahad ini (esok) dan dalam tempoh 11 hari, ia akan berfungsi sepenuhnya lengkap dengan notifikasi dan pengesanan pesakit Covid-19.

“Ia akan menjadi aplikasi yang diwajibkan terhadap mereka yang berada dalam kategori satu dan dua yang kuarantin di rumah,” katanya ketika memberi taklimat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Bersepadu 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) Serdang semalam.

Turut hadir Komander Bersama Joint Task Force Datuk Dr Mohamed Alwi Abdul Rahman, yang juga Ketua Jabatan Kecemasan Hospital Selayang.

Dr Mohd Arshil menjelaskan, aplikasi geofencing itu berbeza dengan aplikasi MySejahtera kerana ia mempunyai fungsi dan tujuan yang berbeza.

“Sudah tentu kita ada menjangka maklum balas negatif, antaranya mengapa mahukan aplikasi lain selain MySejahtera. Tujuan kita buat adalah kerana kita tidak mahu kacau MySejahtera kerana alamat di MySejahtera ada kalanya bukan di lokasi anda melakukan kuarantin.

“Anda mungkin meletakkan alamat rumah ibu bapa anda di MySejahtera tetapi bila dijangkiti Covid-19, anda kuarantin di lokasi lain,” katanya.

Menurut beliau, GKV STF memutuskan, penggunaan aplikasi ini juga bertujuan untuk memudahkan pemantauan dan tindakan pihak berkuasa sekiranya ada pihak yang keluar dari kawasan kuarantin.

“Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0, kita ada pihak polis yang akan memeriksa setiap pesakit yang dikuarantin di rumah tetapi dalam tempoh jangkitan, ia meningkat ke angka 7,000, 8,000 malah 10,000 di Lembah Klang sahaja, adalah sukar tindakan itu dilakukan dan aplikasi ini mengisi kelompongan berkenaan,” katanya.

Berkaitan radius kawalan pihak berkuasa, Dr Mohd Arshil berkata, perkara itu masih dalam kajian untuk menentukan sejauh mana keberadaan pesakit untuk keluar rumah.

“Pesakit tidak perlu risau untuk tidak keluar rumah langsung, sekadar untuk buang sampah, pihak berkuasa tidak akan datang ke rumah anda untuk mengambil tindakan,” katanya.

Beliau turut memberi amaran agar tiada pesakit Covid-19 yang sengaja membuang aplikasi itu di telefon bimbit atau menutup sistem pengesanan global (GPS).

“Kita akan dapat kesan mereka yang berbuat demikian dan pihak berkuasa akan segera datang untuk mengesan anda.

“Ya, tindakan undang-undang akan diambil tetapi saya lebih suka pendekatan mesra dilaksanakan agar semua pihak mematuhi arahan yang ditetapkan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here