137 nelayan pesisir peroleh lesen sampan khas

0
264

Oleh Mohd Lazim Endut

ISU kesukaran nelayan pantai untuk memiliki lesen sampan khas yang seringkali diperbualkan sebelum ini akhirnya terlerai apabila permohonan mereka diluluskan.

Malah, berita gembira tersebut dikongsi oleh 137 nelayan dari daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang masing-masing berjaya menerima lesen sampan khas hari ini.

Penyerahan lesen berkenaan diuruskan kerajaan negeri Terengganu bersama-sama Jabatan Perikanan negeri secara pandu lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim, penyerahan secara pandu lalu dibuat bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Alhamdulillah, akhirnya kita dapat menyelesaikan salah satu isu utama dihadapi nelayan iaitu perlesenan,” ujar beliau.

Dr. Azman memberitahu, berdasarkan pemutihan dibuat, terdapat seramai 800 orang nelayan sampan kategori Zon A menjalankan aktiviti menangkap ikan di seluruh Terengganu.

Daripada jumlah itu katanya, sebanyak 600 permohonan lesen diberikan kelulusan pada tahun ini.

“Pada hari ini sebanyak 137 lesen diserahkan kepada nelayan Kuala TerengÄ£anu dan Kuala Nerus dalam usaha membantu mereka yang menjadikan aktiviti menangkap ikan sebagai punca pendapatan utama.

“Bagi nelayan daerah lain, penyerahan akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini,” katanya selepas program tersebut di Pangkalan Batu Rakit, hari ini.

Menurut Dr. Azman, penyerahan lesen tersebut merupakan satu keistimewaan kepada nelayan tempatan.

Ini kerana katanya, golongan itu telah berpuluh tahun menangkap ikan, tetapi tidak pernah memiliki lesen.

Beliau berkata, apabila tiada lesen, mereka dinafikan dalam banyak perkara termasuk elaun sara hidup nelayan dan minyak bersubsidi.

“Jika berlaku kemalangan di laut pula, mereka tidak layak mendapat bantuan bencana,” jelasnya.

Sebelum ini, penyerahan pertama lesen sampan khas telah diagihkan kepada 84 nelayan di Besut dan Setiu, pada awal tahun ini. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here