Taliban menang di Afghanistan, Presidennya melarikan diri

0
268

Susunan Abu Ubaidillah Rahman

PRESIDEN Afghanistan, Ashraf Ghani melarikan diri dari negara itu selepas mendakwa Taliban telah menang apabila berjaya memasuki ibu kota Kabul.

Ashraf dilaporkan melarikan diri sebelum Taliban mula memasuki bandar Kabul dan menawan istana presiden.

Menurut laporan AFP, Taliban didakwa berjaya menawan seluruh Afghanistan dalam tempoh hanya 10 hari.

“Taliban sudah memenangi peperangan ini dan sekarang, mereka bertanggungjawab atas maruah, kedaulatan, harta benda dan perlindungan negara ini.

“Taliban kini berdepan dengan ujian baharu. Sama ada mereka dapat memelihara nama serta kedaulatan Afghanistan atau mereka lebih mengutamakan kumpulan berbanding rakyat,” ujar Ashraf menerusi satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebook.

Beliau mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak mahu berlaku lebih banyak pertumpahan darah.

Biarpun tidak memaklumkan lokasi dia berada, media tempatan melaporkan Ashraf kini di Tajikistan.

Sebelum ini Taliban bertempur dan menewaskan tentera kerajaan selepas tidak mendapat sokongan askar-askar Amerika Syarikat (AS) yang dalam proses pengunduran dengan tarikh akhir pada 31 Ogos depan seperti ditetapkan Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden.

Taliban sebelum ini memerintah negara itu dan melaksanakan sistem undang-undang Islam semasa memerintah pada tahun 1996 hingga 2001. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here