69 peratus pilih untuk bekerja dari rumah: kajian

0
365

LEBIH 70 peratus responden di Malaysia merasakan tidak selamat berada di tempat kerja, dengan 69 peratus daripadanya memilih untuk bekerja di rumah, sehinggalah keadaan benar-benar pulih daripada ancaman wabak Covid-19.

Kaji selidik oleh sebuah agensi agensi penyelesaian sumber manusia terkemuka dunia, Randstad mendapati responden hanya akan berasa lebih selamat jika rakan sekerja sudah menerima suntikan vaksin.

Kaji selidik H1 2021 Workmonitor yang dilakukan sebanyak dua kali setahun itu mengetengahkan sentimen terbaharu di tempat kerja dan persepsi terhadap pasaran pekerjaan tempatan.

Menurut Randstad, Malaysia mempunyai peratusan tertinggi mereka yang suka bekerja dari rumah berbanding beberapa negara jiran lain seperti Singapura (67 peratus), China (45 peratus) dan Hong Kong (48 peratus) .

Dalam kenyataan ia berkata, lebih tujuh orang daripada 10 responden di Malaysia menyebut mereka berasa tidak selamat melainkan orang di sekeliling telah mendapat suntikan Covid-19, iaitu 12 peratus lebih tinggi berbanding Singapura (61 peratus).

Manakala 55 peratus daripada responden yang bekerja di tempat kerja ketika pandemik berkata, mereka sentiasa berasa berdepan risiko jangkitan.

Hampir tiga daripada lima (59 peratus) melihat produktiviti mereka terjejas kerana tertekan, sekiranya dijangkiti Covid-19 di tempat kerja, sekali gus memberi kesan ke atas kesihatan keluarga serta orang tersayang.

Walaupun terdapat kebimbangan mengenai kesihatan dan keselamatan, kurang satu daripada dua responden (47 peratus) berkata, majikan mereka memberi insentif untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.

Fahad Naeem, ketua operasi di Randstad Malaysia, berkata, “ia bukanlah satu perkara yang mengejutkan apabila orang ramai meletakkan kesihatan dan keselamatan mereka sebagai keutamaan ketika pandemik.

“Dengan berbuat demikian, pekerja juga mengharapkan majikan mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi kesihatan dan keselamatan mereka. Paling minimum, syarikat harus melaksanakan prosedur kesihatan dan keselamatan yang ketat dan membenarkan mereka yang boleh bekerja dari rumah untuk berbuat demikian.”

Fahad berkata, majikan harus memperkukuhkan imuniti kelompok di tempat kerja secara aktif bagi menggalakkan pekerja mengambil vaksin.

Biarpun terdapat potensi implikasi kesihatan dan keselamatan serta kenaikan mendadak kes Covid-19 di Malaysia, namun 64 peratus responden mengatakan majikan mahu mereka bekerja di tempat kerja.

Bagaimanapun, hanya 49 peratus daripada responden bersetuju bahawa pekerjaan mereka tidak boleh dilakukan dari jauh (dari rumah).

Naeem berkata, “walaupun banyak syarikat mahu kembali kepada keadaan prapandemik, tetapi tidak ada keperluan terdesak terutamanya ketika negara masih lagi menyaksikan peningkatan kes Covid-19.

“Pada masa sama, syarikat harus bersedia bagaimana untuk kembali bekerja selepas wabak ini. Kita akur, ramai pekerja berasa mereka lebih produktif dan kurang tertekan apabila bekerja dari rumah. Jadi terdapat harapan yang jelas dalam kalangan pekerja untuk melakukan pilihan bekerja secara hibrid atau secara jarak jauh di rumah.

“Sebab itu penting untuk pemimpin membayangkan masa hadapan di tempat kerja yang akan memacu keperluan mewujudkan dasar pekerjaan baharu, pelaburan digital dan mengkaji semula rekaan pejabat bagi membolehkan pelaksanaan kerja secara hibrid dilakukan dan meningkatkan produktiviti dengan lebih tinggi.”

Kaji selidik itu diadakan pada Mac di semua 34 pasaran di seluruh dunia membabitkan jumlah minimum 400 responden bagi setiap pasaran.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here