Cubaan pujuk ‘Geng Azmin’ sokong Anwar gagal

0
417

BEBERAPA percubaan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan sekumpulan ahli Parlimen yang keluar dari parti itu tahun lalu gagal, dalam usaha mengalihkan sokongan mereka kepada ketua pembangkang berkenaan.

Memetik laporan MalaysiaNow, usaha itu gagal apabila bekas ahli-ahli Parlimen PKR yang kini menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran kerajaan menolak dengan tegas rayuan beberapa utusan Anwar bagi berunding dengan mereka secara tertutup.

Satu daripada pertemuan itu berlaku “minggu lalu”, kata pembantu kepada seorang ahli Parlimen PKR dengan syarat tidak dinamakan.

Pembantu itu turut mendedahkan bagaimana beberapa “pasukan perunding” ditugaskan berhubung dengan bekas ahli-ahli Parlimen PKR yang menyokong ‘Langkah Sheraton’ tahun lalu, sehingga menyebabkan Pakatan Harapan (PH) tumbang daripada pentadbiran kerajaan.

Ketika ditanya apakah ahli Parlimen yang disasarkan termasuk Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin; yang dilabel “pengkhianat” oleh parti itu selepas memimpin 12 orang ahli Parlimen keluar dari PKR, sekaligus mengurangkan jumlah sokongan parlimen parti itu kepada kerajaan PH, pembantu itu menjawab, “Ya”.

“Dan ini berlaku ketika pasukan rundingan lain memberitahu cerita berbeza kepada ahli Parlimen lain kononnya parti mahu terima semula mereka semua, kecuali Azmin dan Zuraida.”

Beberapa pertemuan itu berlaku selepas sebilangan pemimpin PKR diarahkan untuk mendapatkan jumlah sokongan yang diperlukan lebih awal sebelum Perdana Menteri (PM), Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan dan seterusnya membenarkan Yang di-Pertuan Agong menilai sokongan kepada calon-calon PM.

Difahamkan, beberapa pemimpin DAP tidak senang dengan kemasukan 15 ahli Parlimen Umno yang terpalit skandal rasuah seperti bekas PM, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Semalam, MalaysiaNow melaporkan PKR dan Anwar bergantung kepada sokongan sekumpulan ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin, bagi memberi peluang kepada Anwar meraih jumlah sokongan yang diperlukan bagi menjadi PM.

“Namun akhirnya, tiada seorang pun bekas ahli-ahli Parlimen yang keluar dari PKR itu setuju untuk kembali. Itu adalah satu hal yang memang sudah dijangka jika dilihat dengan penolakan keras mereka dengan cara Anwar menguruskan parti,” kata sumber itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here