[VIDEO] PM jamin tindakan terhormat, berpelembagaan selesai kemelut politik

Sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

0
489

PERDANA MENTERI, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau bersedia meletak jawatan Perdana Menteri namun pada masa sama tidak ada seorang pun pemimpin politik yang memperoleh majoriti yang meyakinkan untuk boleh dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

Malah, Muhyiddin berkata jika beliau meletak jawatan sekarang dan tanpa ada Ahli Parlimen yang boleh menjadi Perdana Menteri, kerajaan tidak dapat dibentuk, sekali gus usaha menangani pandemik Covid-19 dan masalah rakyat akan terganggu.

Menurut Perdana Menteri, pada masa ini beliau mempunyai dua pilihan iaitu membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) atau pilihan mudah dengan meletak jawatan dan menyerahkan urusan pelantikan Perdana Menteri baharu kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, pilihan mudah itu juga sebenarnya sukar dan meletakkan rakyat dalam bahaya kerana pada sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu.

“Saya memikirkan dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut Perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?

“Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau menambah, dalam tempoh genting ini semua keputusan dibuat demi kebaikan rakyat dan negara, dan bukan untuk kepentingan peribadi atau rakan-rakan lain.

Perdana Menteri berkata, pihaknya telah mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar Perikan Nasional untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

“Ini akan membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat,”katanya.

Beliau menambah, Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

Stabil dengan dokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

Tambah Perdana Menteri, kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik. Covid-19 dan memulihkan negara.

“Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah. Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.

“Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” ujarnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here