4 lelaki termasuk dua beradik didakwa membunuh

0
410

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

EMPAT rakan termasuk dua beradik didakwa di Mahkamah Majistret Kajang, hari ini atas tuduhan membunuh seorang lelaki 2 Ogos lalu.

Tan Kok Leong, 53; Ngh Wai Seng, 45; Gian Tin Siong, 48, dan adiknya Gian Then Seng, 46, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat lelaki itu kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membunuh Lim Chau Ching, 36, di tepi Jalan Puteri 1, Cheras di sini pukul 6.45 petang, 2 Ogos lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Mahkamah tidak membenarkan ikat kepada kesemua tertuduh dan menetapkan 23 September depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding sama, keempat-empat tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki Yap Siew Kin, 49, di lokasi, waktu dan tarikh sama.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Hairul Iqram Hairuddin manakala keempat-empat tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here