[VIDEO] ‘Malu tolak tepi, artis tolak tepi’ – Azlee Senario gigih niaga buah, ikan untuk sara hidup

0
3135

PELAKSANAAN kawalan pergerakan melibatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD) sejak tahun lalu, menyebabkan ramai pihak terpaksa duduk di rumah atau mengubah perancangan.

Dalam industri seni sendiri, kebanyakan penggiat seni terpaksa melakukan kerja di luar bidang dan tidak kurang juga yang masih terkais-kais mencari punca pendapatan lantaran kekangan ruang pekerjaan.

Pelawak terkenal, Azlee daripada kumpulan Senario, merupakan salah seorang anak seni yang menjalankan perniagaan dengan menjual buah-buahan tempatan di Tapak Pasar Saujana Utama, untuk menyara dirinya dan keluarga.

Azlee Senario ketika ditemubual oleh Wartawan Satu Berita, di Tapak Pasar Saujana Utama.

Menurut beliau, setiap individu perlu ada inisiatif sendiri untuk berniaga dalam waktu pandemik ini, kerana sekurang-kurangnya dapat menyara keluarga dan ia merupakan sumber pendapatan untuk terus dapat bertahan dalam waktu sukar ini.

“Saya mengambil langkah berniaga buah-buahan dan seafood, kerana bagi saya ini adalah satu sumber pendapatan yang boleh kita janakan supaya kita dapat terus bertahan dalam pandemik Covid-19 ini.”

“Pada saya malu tolak tepi, artis tolak tepi, yang penting halal sebab kita nak menyara keluarga kita.

“Kita ada macam-macam untuk dibayar, saraan sebulan saya kena cari RM5,000 ke RM6,000 untuk cover saya punya hutang, jadi kita jangan harapkan orang untuk bantu kita sahaja.

“Saya juga terlibat dengan NGO dan membantu mereka yang terkesan dengan Covid-19, khasnya mereka yang daripada golongan seni, anak-anak seni dan mereka yang terkesan, tetapi saya mengambil langkah juga untuk berniaga kerana saya ada keluarga dan harus laksanakan tanggungjawab sebagai seorang suami.”

Tambah Azlee, disebabkan penangguhan penggambaran yang beliau terlibat seperti projek-projek Senario dan filem arahan Aziz M. Osman, memberi kesan kepadanya.

“Banyak perancangan yang diaturkan, saya sendiri terlibat dengan drama 20 episod, skrip dah ada tetapi shoot tak dibenarkan.

“Tetapi kita kena ikut arahan kerajaan, yang penting kita kena jaga diri kita, jaga SOP dan mudah-mudahan Allah mengangkat wabak Covid-19.”

Beliau juga menasihatkan supaya anak-anak seni bersabar dan terus cuba mencari rezeki dalam waktu sukar pandemik Covid-19 ini.

“Kepada anak seni, bersabarlah di atas dugaan Allah s.w.t, kalau ada ruang cuba cari rezeki berniaga dan sebagainya, mudah-mudahan kita dapat menyara keluarga kita.

“Semoga Allah s.w.t mengangkat wabak ini secepat mungkin dan kita akan berkarya dan bekerja semula.” – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here