[VIDEO] Air mata terakhir ‘bidadari’ Shuib

0
259

KIRA-KIRA 45 minit sebelum azan subuh berkumandang pagi tadi, Siti Sarah Raissuddin, dijemput menemui penciptaNya. Demikian perjalanan anak seni ini yang menghembuskan nafas terakhir pukul 5.13 pagi, pada 30 Zulhijjah 1442-1443, ketika usianya mencecah 36 tahun.

Penyanyi yang popular dengan lagu Demikian ini, meninggalkan empat cahaya mata, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, serta bayi lelaki, Ayash Affan yang dilahirkan pada Jumaat lalu.

Seluruh negara berkongsi kesedihan dengan suaminya, pelawak popular tanahair, Shuib Sepahtu, 37, serta keluarga mereka selepas Siti Sarah tenat dan ditidurkan akibat serangan Covid-19.

Netizen juga berkongsi video bagaimana anak-anaknya memeluk Siti Sarah yang berada di atas kerusi roda, sebelum dibawa masuk untuk mendapatkan rawatan di hospital. Pelukan itu ada pertemuan terakhir mereka sekeluarga sebelum Allahyarhamah meninggal dunia.

Allahyarhamah yang sarat mengandung anak keempat mereka dirawat di unit rawatan rapi (ICU), Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia, UKM (HCTM) dan selamat melahirkan Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, pada pukul 5 petang Jumaat lalu.

Sebelum menghembuskan nafas terakhirnya, Shuib berkongsi detik bagaimana air mata Siti Sarah dilihat mengalir di pipinya walaupun dia ketika itu tidak sedarkan diri.

Shuib sempat membuat panggilan video buat kali terakhir ketika Siti Sarah sedang nazak di ICU dan semua anak mereka menyaksikan melihat air mata berjuraian di pipi arwah, seolah-olah memahami apa yang diungkapkan.

“Dengan bantuan jururawat dan doktor, saya membuat panggilan video, itulah kali terakhir saya dan anak-anak dapat menatap wajah arwah ketika masih bernyawa.

“Ketika itu, saya nampak air mata berlinangan di pipinya, seolah-olah memahami apa yang kami bualkan dengannya. Saya sempat berkejar ke hospital selepas anak-anak tidur dan selesai majlis bacaan Yassin dan doa selamat, malam tadi.

“Bagaimanapun, saya tidak dibenarkan bertemu arwah. Saya kemudiannya berpatah balik ke rumah,” katanya memetik laporan BH Online.

Sejak arwah dimasukkan ke hospital, Shuib, kenalan, keluarga serta peminat mengadakan bacaan surah Yassin serta solat hajat pada setiap malam.

Namun, Jumaat lalu, bacaan paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus dan kembali merosot pagi tadi.

Shuib berkata, dia reda atas pemergian arwah isterinya tetapi berdepan cabaran untuk memaklumkan kepada anak-anaknya mengenai ketiadaan ibu mereka.

“Terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kesihatan isteri saya. Isteri saya bergelut untuk menyelamatkan nyawa anak kami. Terima kasih, terima kasih. Hanya Allah yang membalas jasa anda,” kata Shuib.

Siti Sarah serta keluarganya disahkan positif Covid-19 pada 27 Julai lalu, Bagaimanapun, Shuib serta anak-anak disahkan negatif selepas menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

Jenazah Allahyarhamah ditayammum dan disolatkan di hospital berkenaan kira-kira jam 10 pagi dan Shiub turut dibenarkan untuk bersama-sama menunaikan solat jenazah, namun dengan memakai kelengkapan peralatan perlindungan diri (PPE).

Allahyarham kemudiannya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak pada pukul 1.20 petang tadi, bersebelahan kubur ibunya, Nur Aini Mohamad yang meninggal dunia pada 26 Jun 2013 akibat komplikasi pelbagai jenis penyakit.

“Jika berbual soal kematian, arwah ada menyebut keinginan disemadikan di sebelah kubur arwah ibunya,” kata Shuib yang mengiringi jenazah ke kubur bersama adik bongsu Allahyarhamah, Ahmad Yazeed

Sejak pagi tadi, berita kehilangan Siti Sarah dikongsi peminat serta selebriti tanah air yang berkongsi kesedihan mereka sambil mengucapkan takziah. Sebahagian daripada mereka memaparkan gambar kenangan bersama Siti Sarah.

Ramai juga yang berkongsi rahsia kebaikan Siti Sarah yang jarang didedahkan kepada umum termasuk melalui penceramah bebas, ustaz Ebit Liew yang mengakui Allahyarhamah mahu membantunya membayar sewa rumah orang miskin serta membantu anak yatim bersekolah.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here