Keputusan mengenai pemilihan UMNO milik mutlak parti – Ahmad Maslan

UMNO hanya perlu memaklumkan mengenainya kepada pihak RoS

0
256

KEPUTUSAN terhadap Pemilihan UMNO adalah milik mutlak Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti dan pertubuhan politik itu hanya perlu memaklumkannya sahaja kepada pihak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Menurut Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, MKT telahpun memaklumkan dan mendapatkan pandangan RoS mengenai keputusan menangguhkan pemilihan untuk tempoh 18 bulan tersebut melalui surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021.

Jelas beliau keputusan yang selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO berkenaan dilaksanakan selepas mengambil kira pandangan RoS, Majlis Keselamatan Negara dan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Mesyuarat MKT secara bersemuka pada 25 April 2021 di Aras 39, Menara Dato Onn, MKT telah membuat keputusan untuk merujuk kepada pihak ROS dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan pandangan berkenaan menjalankan mesyuarat dan pemilihan parti dalam suasana pandemik COVID-19 di Malaysia.

“Pihak ROS juga telah memperakui penerimaan surat UMNO bertarikh 24 Jun 2021 melalui surat ROS bertarikh 19 Julai 2021 yang antara lain telah menyatakan bahawa pihak ROS tidak mempunyai halangan terhadap penangguhan pemilihan parti UMNO dan keputusan ini adalah mematuhi Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO,” katanya melalui media yang yang disiarkan oleh laman Facebook UMNO Online pada hari ini.

Ahmad Maslan selanjutnya menjelaskan, pentafsiran yang diberikan oleh Peguamcara UMNO terhadap Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO adalah dengan jelas menyatakan bahawa penangguhan pemilihan UMNO adalah kuasa mutlak MKT dan oleh sebab itu, UMNO hanya perlu memaklumkan kepada pihak RoS.

Sehubungan dengan itu, tegas beliau, isu yang dibangkitkan oleh pihak RoS pada surat bertarikh 6 Ogos 2021 yang berpandangan bahawa tempoh pemegang jawatan MKT bagi penggal 2018/2021 telah tamat pada 30 Jun 2021 adalah tidak lagi berbangkit.

Justeru, UMNO menegaskan bahawa berdasarkan rentetan kronologi surat menyurat yang disebut di dalam kenyataan di antara pihak ROS dan UMNO, maka, telah wujud satu harapan yang sah (legitimate expectation) oleh pihak UMNO ke atas pihak RoS untuk memperakukan penangguhan pemilihan parti. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here