[VIDEO] Pemimpin langgar titah Agong derhaka – Ismail Sabri

0
625

SEBARANG tindakan yang bertentangan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustaffa BIllah Shah boleh dianggap melanggar hasrat Tuanku atau derhaka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, titah dan perkenan Yang di-Pertuan Agong dengan jelas mahu soal keabsahan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ditentukan di Parlimen.

“Jadi kami Ahli-Ahli Parlimen yang setia kepada ke bawah Duli Yang Maha Mulia akan patuh kepada titahnya iaitu apa pun perkara yang nak diselesaikan tentang perkara yang berkaitan dengan kerajaan perlu dilakukan di Parlimen.

“Jadi tidak timbul isu yang mengatakan Ahli Parlimen derhaka dan sebagainya, mungkin yang derhaka adalah pihak yang melanggar titah daripada Yang di-Pertuan Agong supaya perkara ini dibawa ke dalam Parlimen pada bulan September ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan sokongan 31 Ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional kepada kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hari ini

Jelas Ismail Sabri, tindakan yang dianggap melanggar titah tersebut termasuklah sebarang keputusan yang dilihat boleh meruntuhkan kerajaan sebelum sidang Parlimen diadakan.

“Dan kami berpandangan perkara-perkara lain adalah perkara yang diluar daripada perkenan Yang di-Pertuan Agong sama ada menghantar SD ataupun surat akuan termasuklah untuk melakukan tindakan yang boleh meruntuhkan kerajaan sebelum Parlimen diadakan,” katanya.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini dilaporkan mengutuskan warkah kedua kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memaklumkan pertambahan bilangan Ahli Parlimen parti itu yang tidak lagi memberikan sokongan kepada Muhyiddin.

“Jadi jelas bahawa walaupun ada kenyataan daripada Presiden UMNO yang mengatakan beliau akan menghantar nama lagi (kepada Yang di-Pertuan Agong), saya rasa ini adalah bertentangan dengan perkenan dan juga keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong,” ujarnya.

Mengulas mengenai surat dihantar Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan kepada Ahli Parlimen yang perlu dibalas dalam tempoh 48 jam, Ismail Sabri melihat perkara itu bertentangan undang-undang.

Menurut beliau, isu berkenaan akan dibincangkan bersama semua Ahli Parlimen sama ada akan menjawab atau pun tidak surat tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here