[VIDEO] Tidak mustahil ‘kleptokrat’ kembali berkuasa jika PN jatuh

TIDAK mustahil UMNO akan mengambil alih tampuk pemerintahan jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dijatuhkan.

Kebimbangan itu dibangkitkan ahli Parlimen pembangkang, Tony Pua yang turut memberikan amaran, – dengan kembali berkuasa UMNO bermakna golongan kleptokrat mungkin berkuasa semula atau dibebaskan.

“Bukankah kelihatan seperti bila dia (Muhyiddin) mengundurkan diri, UMNO telah memposisikan dirinya untuk menggantikan jawatan perdana menteri?

“Dan ketika pemimpin UMNO menjadi PM, tidakkah semua kleptokrat akan dibebaskan atau mungkin juga berkuasa semula?,” tulis Pua dalam hantaran di Facebooknya.

Pua menambah, apabila UMNO menjadi pemimpin utama dalam kerajaan, ia akan mengukuhkan kekuatan politiknya untuk muncul lebih kuat pada pilihan raya akan datang.

Justeru katanya, tempoh beberapa minggu akan datang menjadi amat getir dalam membuat keputusan yang akan membawa implikasi besar kepada negara pada masa depan.

Golongan kleptokrat merujuk pemimpin rasuah menggunakan kuasa mengumpul harta dan kuasa demi kepentingan peribadi.

UMNO kini terbahagi kepada dua kem, iaitu kumpulan menyokong kerajaan PN, dan kumpulan penyokong Presiden UMNO, yang juga dikaitkan dengan kluster mahkamah kerana masih berdepan kes-kes rasuah di mahkamah.