[VIDEO] Najib terima kembali aset disita RM114 juta

0
267

WANG TUNAI sebanyak RM114 juta yang dirampas oleh kerajaan di premis kediaman mewah Pavillion Residence di Kuala Lumpur pada 2018 sudah diserahkan semula kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 17 Jun lalu.

Difahamkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulangkan semula wang tersebut sebulan selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggugurkan permohonan pelucuthakan wang tunai sebanyak RM114 juta oleh kerajaan yang didakwa disalahgunakan daripada dana 1MDB.

Najib mendakwa beliau menyimpan wang tunai RM114 juta tersebut untuk UMNO.

Kerajaan pada 20 Mei lalu gagal dalam permohonannya untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residence pada 17 Mei 2018, didakwa milik Datuk Seri Najib Razak dan UMNO.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakimannya, berkata mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan wang dirampas dari sebuah premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd itu diperoleh daripada kesalahan pecah amanah.

Antara lain, pendakwaan mendakwa wang tunai RM 114 juta tersebut adalah sebahagian daripada AS$971 juta (sekitar RM2.9 bilion) yang dikatakan diterima Najib dari 1MDB antara 2011 hingga 2013.

Susulan keputusan mahkamah itu, pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk memutuskan kepada siapa wang tunai tersebut perlu dipulangkan.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagaimanapun berkata ia terpulang kepada kliennya untuk membahagikan wang tersebut antara dia dan Umno.

Wang tersebut dipulangkan kepada Najib hanya beberapa hari sebelum beliau gagal dalam percubaan untuk menangguhkan penyelesaian RM1.69 bilion tunggakan cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Najib turut memfailkan permohonan untuk menggugurkan notis muflis terhadap beliau selepas gagal menyelesaikan tunggakan cukai. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here