Perlis, Sarawak, Labuan beralih ke Fasa 3 PPN Rabu ini – PM

0
372

PERLIS, Sarawak dan Labuan akan beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara berkuat kuasa Rabu ini susulan prestasi baik berdasarkan tiga nilai ambang.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, selain itu Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini turut memperincikan kemudahan kepada individu yang telah lengkap mendapat dua dos suntikan vaksin.

“Turut dibincangkan adalah kemudahan yang bakal dinikmati sektor ekonomi. Perkara ini perlu diperhalusi dengan berhati-hati bagi memastikan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dan kualiti hidup rakyat dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan.

“Insya’Allah kemudahan-kemudahan ini akan saya umumkan dalam waktu yang terdekat dan diharapkan dapat memanfaatkan sebaiknya individu yang telah menerima vaksinasi lengkap dan juga membantu sektor ekonomi kita dengan mengambilkira keselamatan rakyat,” kata Perdana Menteri dalam hantaran di Facebook hari ini.

Perdana Menteri turut menekankan bahawa strategi kerajaan adalah memberikan vaksinasi kepada seramai mungkin penduduk dewasa di Malaysia bagi memastikan pemulihan negara dapat dijalankan dengan lancar.

“Lebih ramai yang divaksinasi, lebih ramai yang terlindung, lebih kurang tekanan dan bebanan kepada sistem kesihatan negara dan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial yang boleh dibuka dengan selamat,” katanya.

“Alhamdulillah, sukacita ingin saya umumkan tiga negeri yang menunjukkan prestasi amat baik akan beralih ke Fasa 3 PPN, iaitu Perlis, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuatkuasa Rabu, 4 Ogos,” katanya.

Pada mesyuarat petang ini juga, Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, telah membentangkan perkembangan pelaksanaan PPN.

“Suka untuk saya mengingatkan agar SOP dan peraturan yang telah ditetapkan terus dipatuhi dan semua usaha untuk menambahbaik situasi pandemik di negeri masing-masing diteruskan.

“Saya berharap dengan kerjasama semua pihak di seluruh negara lebih banyak negeri akan dapat bergerak ke fasa seterusnya.

“Kita harus optimis dan terus bergerak ke hadapan supaya pemulihan negara dapat dijalankan dengan lebih sistematik dan selamat,” kata Perdana Menteri. – SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here