‘Ini satu permulaan, saya tidak pulang dengan tangan kosong’ – Dhabitah

0
224

PENTAS final acara 3 meter papan anjal wanita di Olimpik Tokyo 2020 hari ini menyaksikan Malaysia begitu hampir menuai satu lagi pingat setelah atlet terjun negara Nur Dhabitah Sabri mendapat tempat ke-4, hari ini.

Dhabitah menyudahkan lima terjunan dengan kutipan mata, 63.00 , 66.65, 61.50, 67.50 menjadikan jumlah keselurahan mata yang dipungut adalah 326.15.

Jumlah kutipan mata tersebut hanya 17.6 mata di belakang wakil Amerika Syarikat, Krysta Palmer yang meraih pingat gangsa.

Manakala penerjun dari China masih mengekalkan pingat emas yang dimenangi di Rio 2016 dengan kutipan mata sebanyak 383.50 dan rakan sepasukannya meraih pingat perak dengan jumlah mata sebanyak 348.75.

Dalam wawancara bersama Astro Arena selepas peringkat akhir hari ini, Dhabitah menyatakan bahawa ini adalah satu permulaan dan penglibatannya di Sukan Olimpik kali ini memberikan pengalaman yang bermakna buat dirinya.

“Saya masih muda dan perjalanan saya masih jauh. Ini adalah satu permulaan, walaupun kita tidak berjaya bawa balik pingat, tapi kita masih bawa balik sesuatu iaitu pengalaman. Saya rasa saya tidak pulang dengan tangan kosong, saya balik dengan sesuatu (pengalaman),” katanya.

Tinjauan di laman sosial Twitter mendapati bahawa rakyat Malaysia cukup berbangga dengan pencapaian Dhabitah di Sukan Olimpik Tokyo 2020 kali ini.

“Tidak mengapa Dhabitah! Awak sudah lakukan yang terbaik! Kami bangga dengan awak!” tulis pengguna Twitter, @shahiraanatasha.

“Dhabitah mungkin kalah, tetapi dia memenangi hati kami,” luah @_raynz

Sebagai rekod, penyertaan Dhabitah di Olimpik Tokyo ini adalah penampilan keduanya di pentas Olimpik selepas menyertai Olimpik Rio 2016 pada usia 17 tahun.

“Dia memenangi pingat emas untuk senyumannya. Kami sayang kamu Dhabitah,” ciap seorang lagi pengguna, @JAYPIIU.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here