[VIDEO] Ini peluang selesaikan masalah Covid-19, bukan tukar kerajaan – Musa Hitam

WALAUPUN perbalahan politik merupakan satu sifat yang perlu wujud dalam proses demokrasi, senario yang berlaku pada ketika ini tidak pernah berlaku dalam sejarah politik negara.

Menurut bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, amalan Demokrasi Berparlimen Negara pada ketika ini telah dicabar dan kebebasan berpolitik telah digunakan oleh pihak-pihak tertentu secara negatif.

Menurut beliau, apa yang berlaku pada ketika ini ialah perbalahan pada sidang Parlimen yang penuh jeritan, maki hamun dan cari salah supaya kerajaan itu jatuh dan diganti dengan pemimpin baharu.

Kata beliau dalam wawancara yang disiarkan oleh Sinar Harian hari ini, sepatutnya, dalam keadaan negara menghadapi pandemik Covid-19 ini, para pemimpin berkenaan menunjukkan kepada masyarakat bahawa ahli politik boleh bermuafakat dan bertukar-tukar fikiran.

“Yang penting kita mengambil langkah-langkah yang boleh diterima oleh setiap orang ketika kita menghadapi Covid-19 ini.

“Dalam proses Demokrasi Berparlimen, pihak kerajaan akan jalankan tugas mereka, tetapi ada juga yang tidak. Pembangkang harus jalankan tugas dan tanggungjawab mendapatkan jawapan ataupun tindakan untuk mengatasi perkara yang salah itu,” jelas beliau.

Musa menegaskan bahawa, itulah peluang yang terbesar boleh disampaikan oleh semua ahli Parlimen iaitu berkenaan dengan soal di mana kita dapat menghadapi atau memusnahkan cabaran Covid-19.

Beliau menekankan, inilah peluang kepada semua ahli Parlimen dan pemimpin untuk bersama-sama serta bersetuju bekerja bersama. – SB