Pemberian vaksin secara ‘walk in’ di 12 lokasi Selangor 2 Ogos

0
423

PEMBERIAN vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’ akan dilaksanakan kerajaan negeri Selangor di 12 lokasi di beberapa Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula 2 Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebanyak 1,300 suntikan sehari akan diperuntukkan bagi setiap satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di DUN.

Menurutnya, langkah itu adalah untuk memudahkan proses vaksinasi selain daripada temujanji yang diterima melalui aplikasi MySejahtera dan SELangkah.

“Pelaksanaan secara ‘walk-in’ dilaksanakan di kawasan DUN bagi mempermudah proses vaksinasi berkuat kuasa 2 Ogos hingga 2 September dan ia tertakluk kepada jadual pelaksanaan di DUN terlibat.

“Diharap usaha ini akan memperlengkap Operasi Lonjakan Kapasiti yang sedang digerakkan di Greater Klang Valley,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, lokasi PPV terbabit ialah Dewan Banting Baru, Morib; Dewan Pandan Indah; Dewan Majlis Bandar Baru, Kuala Selangor; Dewan Dato’ Abdul Hamid, Batang Kali; Dewan Sekolah Cina, Ijok dan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam.

Tambahnya, turut menjadi lokasi PPV ialah; Dewan Seri Siantan, Selayang; Dewan Sri Cempaka, Kajang; Dewan Eng Ann, Klang; Dewan Komuniti Putra Perdana, Dengkil; Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar serta Dewan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) AU5, Ampang.

Sementara itu, Amirudin memaklumkan bahawa 65.5 peratus daripada individu dewasa di Selangor sudah menerima suntikan dos pertama.

“Mengikut kapasiti setakat ini, kerajaan negeri yakin kerjasama bersepadu di antara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta tambahan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dapat membawa penduduk Selangor mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang daripada sebulan dengan sasaran imuniti kelompok dijangka dicapai apabila 80 peratus daripada populasi dewasa divaksin.

“Oleh itu program percuma SelVAX Komuniti yang sedang berlangsung akan diteruskan sehingga 11 Ogos sebagai salah satu strategi kerajaan Selangor untuk menampung serta mempercepat pelaksanaan PICK,” tambahnya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here