SAKSI yang merakam video sebuah pikap dipandu melawan arus sehingga menyebabkan kematian dua rakan sekerja di Lebuhraya Persekutuan dari arah Klang ke Kuala Lumpur, awal pagi semalam tampil membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, saksi berkenaan tampil bagi membantu siasatan pada jam 9 malam tadi.
“Saksi hadir bersama dua rakannya yang turut berada di dalam kenderaannya ketika kejadian. Siasatan lanjut masih diteruskan bagi melengkapkan kertas siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, beberapa jam selepas kemalangan maut berlaku di Kilometer 8.5 dan 8.6 Lebuhraya Persekutuan, satu video selama 29 saat merakamkan kejadian itu tular di media sosial.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi semalam, Mitsubishi Triton yang dipandu secara melawan arus oleh suspek berumur 24 tahun itu dari Kuala Lumpur ke Klang sebelum bertembung Proton Wira mangsa dari Klang ke Kuala Lumpur.
Dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian adalah pemandu, Nur Afiqah Abdul Karim, 18, dan Muhammad Hafiz Syamir Dzul Asri, 19.
Baharudin berkata, pemandu pikap yang positif dadah jenis ganja itu direman sehingga 17 September ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.