Taktik sembunyi dadah dalam susu kultur, jus terbongkar

0
197

POLIS membongkar taktik licik sepasang suami isteri menggunakan minuman susu kultur dan jus untuk mengedar pelbagai jenis dadah bernilai RM206,111 selepas diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Banda Hilir, di Melaka, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil risikan selama seminggu berjaya menahan suspek lelaki tempatan berusia 34 tahun dan isterinya, warga Thailand 28 tahun.

“Polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah memberkas suspek pertama pada pukul 8.30 malam di tempat parkir sebuah pangsapuri di Banda Hilir pada 21 Januari lalu.

“Pemeriksaan ke atas suspek telah menjumpai sejumlah jus 3,910 mililiter dan serbuk 75.6 gram disyaki ketamin dalam sebuah beg kain yang digalasnya.

“Susulan penahanan suspek pertama, polis membuat serbuan kedua di sebuah premis di pangsapuri yang dijadikan stor menyimpan pelbagai bahan disyaki dadah.

“Dalam serbuan itu seorang wanita yang merupakan isteri suspek pertama turut ditahan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di Bandar Hilir di Melaka hari ini.

Jelas beliau, pasangan terbabit dipercayai aktif sejak Disember tahun lalu dan mengambil bekalan dari Kuala Lumpur serta Johor untuk dipasarkan di kelab-kelab malam di negeri ini.

Ujar beliau, pemeriksaan di premis tersebut turut menemui dan merampas botol minuman ringan dan kultur pelbagai jenis disyaki cecair ketamin membabitkan jumlah 56,700 mililiter, serbuk ketamin (2134.37 gram), pil ekstasi (229 gram), ketulan mampat daun kering ganja (33.53 gram) dan pil eramin 5 (144 gram).

“Tidak menolak minuman kultur dan jus ini telah dicampurkan dengan ketamin bagi mengaburi kegiatan pengedaran bekalan berkenaan yang boleh digunakan seramai 3,669 penagih.

“Sebuah kereta jenis Proton Saga, barang kemas dan wang tunai bernilai RM25,680 yang disyaki digunakan dalam kegiatan tersebut turut disita,” katanya lagi.

Tambah beliau, hasil ujian saringan air kencing terhadap pasangan itu mendapati negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan mereka direman selama enam hari sehingga 26 Januari ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya, lapor Sinar Harian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here