OPR naik himpit ekonomi keluarga

0
423

DALAM berdepan kenaikan inflasi, rakyat disarankan tidak boros dan berbelanja dengan bijak kerana apabila Kadar Dasar Semalaman (OPR) meningkat, harga barang juga meningkat menyebabkan rakyat terhimpit dari segi kewangan.

Pakar Perancangan Ekonomi Keluarga, Dr Amim Othman berkata, OPR itu ibarat air yang apabila ia naik, ia akan menenggelamkan semua.

“Dalam keadaan sekarang, ini adalah peluang terbaik untuk keluarga belajar tentang perancangan kewangan.

“Ibu bapa perlu mendidik anak-anak tentang pentingnya menabung, jangan boros kerana bila keadaan inflasi ini, dia akan bengkak semua,” katanya ketika dihubungi SatuBerita.

Beliau mengulas langkah yang boleh diambil rakyat berikutan terdapat jangkaan OPR akan dinaikkan sebanyak dua kali menjelang hujung tahun ini, meskipun telah mengalami dua kenaikan sebelum ini.

Pensyarah Kanan di Universiti Putra Malaysia (UPM) itu menambah, antara langkah yang boleh membantu adalah pelan pemakanan harian bagi mengurangkan lebih 40 peratus perbelanjaan makanan bulanan.

“Ahli keluarga perlu duduk dan fikir perbelanjaan yang akan dibuat, merangka dan merancang pelan makanan pagi, petang dan malam.

“Buat satu senarai, beli produk berdasarkan menu tersebut, boleh jimat sebanyak 40 peratus perbelanjaan dan mengurangkan pembelian yang tidak patut” ujarnya yang turut mempraktikkan langkah sama.

Tambahnya, rakyat juga disarankan sentiasa menjaga satu sama lain kerana emosi sering terganggu dalam keadaan ekonomi tidak baik ketika ini.

“Apabila (harga) barang di sekitar kita meningkat, emosi akan terganggu. Kita kena anggap ini semua ujian dan perlu bersyukur.

“Apabila kita bersyukur kita akan tenang,” katanya. -SB

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here