Mielitis melintang kesan sampingan AstraZeneca – EMA

DUA vaksin Covid-19 disahkan mengakibatkan kesan sampingan dalam bentuk radang tulang belakang yang jarang berlaku.

Amaran tersebut diberikan oleh Agensi Ubat-Ubatan Eropah (EMA) terhadap vaksin AstraZeneca pada Jumaat dan sebelum ini pada Oktober, memberikan amaran yang sama terhadap satu dos Johnson & Johnson (J&J).

Dapatan kajian itu mendorong panel keselamatan pengawal selia ubat Eropah tersebut pada Jumaat memasukkan keradangan tulang belakang yang jarang berlaku dipanggil mielitis melintang itu, sebagai kesan sampingan vaksin Covid-19, AstraZeneca.

Mielitis melintang adalah keradangan satu atau kedua-dua belah saraf tunjang dan boleh menyebabkan lengan atau kaki menjadi lemah, gejala deria atau masalah dengan fungsi pundi kencing atau usus.

“Pada masa ini tiada mekanisme yang dapat mengesahkan vaksin Covid-19 boleh menyebabkan myelitis melintang, sesuatu yang sangat jarang berlaku,” kata jurucakap AstraZeneca.

Jawatankuasa EMA, selepas menyemak data, membuat kesimpulan terdapat kemungkinan munasabah kaitan antara kedua-dua jenis vaksin itu dengan mielitis melintang.

Bagaimanapun, EMA menegaskan manfaat kedua-dua vaksin kekal tidak berubah.

Agensi kawal selia itu juga tidak memberikan sebarang maklumat berhubung bilangan kes mielitis melintang yang dilaporkan selepas vaksinasi diberikan tetapi berkata kesan sampingan itu ditambah sebagai tindak balas buruk kekerapan yang tidak diketahui berkaitan maklumat produk.

Vaksin AstraZeneca telah menghadapi beberapa halangan, termasuk kelewatan pengeluaran dan siasatan oleh pengawal selia berikutan kesan sampingan teruk yang jarang berlaku, seperti pembekuan darah dengan platelet rendah, yang menyebabkan beberapa negara menyekat atau menghentikan penggunaannya.

Mielitis melintang juga adalah antara kesan sampingan dikesan pada peringkat awal pembangunan untuk kedua-dua suntikan AstraZeneca dan J&J.

EMA juga mengesyorkan mengemas kini maklumat produk untuk vaksin AstraZeneca mengenai pembekuan darah yang jarang berlaku dengan kiraan platelet yang rendah selepas suntikan pertama, namun lebih sedikit kesan sampingan sedemikian diperhatikan selepas dos kedua. – AGENSI