PERIKATAN Nasional (PN) berikrar untuk memulihkan serta merancakkan kembali industri pelancongan negeri Melaka yang terjejas teruk ekoran penularan wabak Covid-19 selama hampir dua tahun.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri bersejarah itu mempunyai potensi yang cukup besar dalam sektor pelancongan sekiranya dibangunkan dan diperluaskan secara optimum dengan program yang inovatif dan berimpak tinggi yang akan ditawarkan oleh parti berkenaan.
Katanya, PN turut akan menggiatkan usaha pemulihan industri pelancongan, termasuk pelancongan kesihatan antarabangsa bagi menjadikan Melaka destinasi pilihan pelancongan kesihatan.
“Selain itu, pendekatan menjadikan Melaka sebagai tempat persinggahan pelancong kapal persiaran yang menyusuri Selat Melaka dan pusat penganjuran Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) akan dipergiat dengan menyediakan kemudahan penginapan, pengangkutan dan aktiviti sampingan,” katanya ketika berucap pada pelancaran Ikrar PN Untuk Melaka di Glenmarie Shah Alam, hari ini.
Baca berita berkaitan: Perikatan Nasional ikrar bawa Melaka Bangkit Gemilang
Baca berita berkaitan: PN tubuh jawatankuasa bebas pastikan ikrar dilaksana gigih dan telus
Kerancakkan sektor pelancongan ini merupakan tunjang ketiga daripada enam tunjang yang menjadi teras Ikrar PN Untuk Rakyat Melaka sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) berkenaan.
Dengan slogan Melaka Bangkit Gemilang, ikrar berkenaan manifestasi kesungguhan PN menjadikan Melaka sebagai sebuah negeri yang maju, prihatin rakyat dan dipimpin oleh sebuah pasukan kepimpinan yang berintegriti.
Selain itu, bagi melancarkan lalu lintas, terutamanya pada waktu puncak atau musim percutian, Kerajaan PN Negeri Melaka yang akan dibentuk nanti akan menyediakan lebih banyak kemudahan tempat letak kenderaan bertingkat di kawasan pelancongan dan diselaraskan dengan sistem “park and ride”.
Muhyiddin menambah, negeri Melaka turut akan dipromosikan sebagai destinasi aktiviti rekreasi, termasuk sukan air dan sukan lasak yang menjadi tarikan masa kini.
“Bagi menyokong inisiatif ini, program Bandaraya Melaka Bebas Kenderaan akan diperkenalkan di lokasi dan waktu tertentu di hujung minggu bagi pelancong dalam dan luar negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, PN turut akan memberikan perhatian kepada pemulihan, pemuliharaan, serta penjagaan lokasi tarikan pelancong, persisiran pantai dan bangunan warisan yang terdapat di negeri Melaka.
“Perikatan Nasional mahukan limpahan ekonomi sektor pelancongan bukan hanya kepada pengusaha atau syarikat besar, tetapi turut memberi impak kepada seluruh rakyat Melaka melalui peluang pekerjaan dan perniagaan, khususnya kepada penjaja dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana berkaitan pelancongan,” ujarnya.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.