Vaksin ‘walk in’ terus diperluas

INISIATIF vaksinasi walk-in yang sedang dilaksanakan di Lembah Klang diperluaskan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Awam seluruh negara untuk kumpulan tertentu dalam masa terdekat.

Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (CITF) memaklumkan dalam satu kenyataan, bagaimanapun hanya lima golongan diberi keutamaan untuk datang secara terus iaitu warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan individu dengan komorbid berusia 18 tahun dan ke atas.

Bagaimanapun, perincian pelaksanaan vaksinasi secara terus itu akan dimaklumkan oleh CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan negeri masing-masing. Ini termasuklah penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara ‘walk-in’ di PPV bagi setiap negeri.

“Vaksinasi secara terus dikhususkan bagi kumpulan warga emas, orang kurang upaya (OKU), individu dengan komorbid berusia 18 tahun ke atas serta guru, anggota kumpulan pelaksana dan pekerja perkhidmatan sokongan kontrak di institusi pendidikan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ia juga dikhususkan kepada individu yang terlepas suntikan dos kedua. Mereka boleh ke PPV berhampiran rumah, tetapi boleh dirujuk ke PPV lain jika awal tidak menawarkan vaksin jenis sama dengan dos pertama penerima,” katanya.

Namun, menurut CITF, wanita hamil tidak digalakkan untuk ‘walk-in’, sebaliknya akan diberikan janji temu melalui MySejahtera mengikut jangkaan tarikh bersalin ke PPV bersesuaian.

CITF menambah, pada masa ini Perak, Kedah, Pulau Pinang, Sabah, Melaka dan Sarawak telah memulakan inisiatif walk-in kepada warga emas, termasuk Kelantan yang membuka secara pra-tempahan.

Katanya, perincian pelaksanaan vaksinasi secara walk-in akan dimaklumkan CITF negeri bersama Jabatan Kesihatan negeri masing-masing termasuk penjadualan vaksinasi dan kuota harian vaksinasi secara walk-in di PPV bagi setiap negeri.

Sementera itu, CITF juga memaklumkan individu yang tidak berpeluang menerima vaksinasi pada hari terbabit susulan kehabisan bekalan vaksin di PPV, akan disenaraikan sebagai keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi pada keesokannya.

Terdahulu, pemberian vaksin secara ‘walk in’ yang diumumkan dan berkuatkuasa pada 2 Ogos lalu mendapat sambutan yang sangat baik di Lembah Klang.