WANG sebanyak RM1.1 juta yang digunakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan bagi membayar kompaun dikutip menerusi bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakannya.
Perkara tersebut dimaklumkan peguan Ahmad, Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq dalam satu kenyataan hari ini.
“Untuk makluman, jumlah kompaun yang dibayar iaitu RM1.1 juta adalah bantuan dan pinjaman daripada rakan-rakan yang telah menyokong Ahmad sepanjang perjuangan beliau,” kata kenyataan media itu.
Jelas peguam Ahmad lagi, proses penyelesaian ini bukan proses baru, malah telah mengambil masa hampir setahun lebih sebelum ia diterima dan direkodkan di Mahkamah hari ini.
“Bebera siri representasi juga telah dimasukkan ke Jabatan Peguam Negara sepertimana pengetahuan umum yang dilaporkan di dalam media,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahmad terhadap dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.
Keputusan dibuat selepas Ahmad membayar kompaun sebanyak RM1.1 juta
Sebelum ini Ahmad mengaku tidak bersalah atas tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Najib dan memberi pernyataan palsu.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Ahmad, 55, didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib, yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Ahmad, dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek itu.
Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda kedua-duanya.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.