PRK: Bantu PN nafikan majoriti dua pertiga kerajaan Anwar – Radzi

0
174

KEMENANGAN Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai akan memastikan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat meminda dasar dan polisi kerajaan sesuka hati.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, hal itu kerana ketika ini kerajaan Persekutuan mempunyai majoriti dua pertiga kerusi Parlimen, iaitu sebanyak 148 kerusi, termasuk Parlimen Pulai.

Justeru, pihaknya berharap pengundi Parlimen Pulai akan memberikan kemenangan kepada PN bagi memastikan kerajaan tidak boleh melakukan perkara yang boleh menjejaskan kehidupan rakyat.

“Ketika ini kerajaan mempunyai majoriti dua pertiga, mereka boleh ubah polisi kerajaan mengikut suka mereka. Kali terakhir kerajaan mempunyai majoriti sedemikian adalah pada tahun 2004.

“Oleh itu, kita tidak mahu kerajaan dengan gabungan idealogi yang bermacam-macam membuat pindaan terhadap perlembagaan termasuk persempadanan semula. Jadi PRK Parlimen Pulai ini adalah amanah besar.

“Ini masa depan negara dan anak-anak kita. Jadi, rakyat Pulai memainkan peranan penting untuk pastikan majoriti dua pertiga itu kita hilangkan, kita perlu nafikan kuasa majoriti itu,” katanya pada Majlis Dialog Rakyat Bersama Presiden Pas di Taman Tampoi Utama, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Pengerusi PN Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal serta calon PN bagi PRK Parlimen Pulai, Zulkifli Jaafar.

Radzi yang juga Ahli Parlimen Putrajaya turut memberitahu, rakyat termasuk masyarakat bukan Islam tidak perlu bimbang atau takut dengan pentadbiran PN yang dilihat lebih islamik tidak akan menjejaskan cara hidup mereka, khususnya melibatkan urusan keagamaan serta kebudayaan.

“Buktinya sudah ada, pentadbiran melibatkan kerajaan Kedah, Kelantan, Terengganu dan Perlis langsung tidak menjejaskan kehidupan masyarakat bukan Islam, manakala ketika tempoh pentadbiran PN sebagai kerajaan Persekutuan turut menjadi bukti kemampuan pentadbiran kami.

“PN menjadi kerajaan dengan berdepan tiga krisis, iaitu kesihatan akibat Covid-19, ekonomi serta politik, namun dalam tempoh sukar, rakyat tetap diutamakan kerana mandat ketika itu adalah untuk pastikan atas meja rakyat ada makanan. Kita perkenalkan banyak usaha, sebab itu dunia lihat bagaimana Malaysia tangani Covid-19 dan tidak lama selepas itu kita kembali naik dengan cepat,” katanya lapor Utusan Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata, pentadbiran kerajaan Persekutuan hari ini walaupun selepas sembilan bulan mentadbir masih tiada perancangan jelas untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here