‘Saya tetap bertahan walau berdarah’ – Sanusi

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengakui agak tertekan dengan serangan politik terhadap dirinya khususnya sepanjang kempen pilihan raya negeri (PRN).

Beliau berkata, biarpun berdepan serangan berterusan daripada kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sama ada dari peringkat negeri mahupun pusat, dirinya tidak pernah mengaku kalah dan terus bertahan untuk kepentingan parti mahupun rakyat negeri ini.

Menurutnya, kekuatan untuk berdepan pelbagai cabaran sepanjang mentadbir Kedah lebih tiga tahun datangnya daripada ALLAH SWT selain sokongan rakyat dan rakan gabungan PN.

“Tipulah kalau saya kata saya tak rasa tertekan dengan serangan yang saya hadapi selaku ketua kerajaan. Saya dengan penuh tawaduk serta sokongan rakan-rakan dalam pimpinan selain rakyat menyebabkan saya terus yakin berdepan gerombolan pimpinan PH-BN.

“Semua hala meriam ke Kedah dan mereka pilih Kedah sebagai medan tempur dalam enam negeri PRN, saya jeneral perang peringkat nasional dan negeri perlu ‘cool’ untuk pastikan calon PN terus tenang hadapi cabaran,” katanya ketika berucap di hadapan lebih 3,000 penyokong PN, kepimpinan dan ahli Pas di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut pada awal pagi Ahad.

Muhammad Sanusi tegaskan, serangan demi serangan terhadap dirinya amat luar biasa namun berjaya ditepis dengan sokongan pelbagai pihak.

“Saya serap semua serangan supaya yang lain terselamat daripada ‘tembakan’, ada la sipi (tersasar) kena pada calon lain atau negeri lain. Saya tetap bertahan walau berdarah.

“Kekuatan ini datang daripada ALLAH SWT, bukan pada diri saya saja. Kepercayaan diberikan untuk saya teruskan amanah saya lontarkan agar menjadi kenyataan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kemenangan 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang kini menjadi milik PN membuktikan perjuangan dibawa kerajaan negeri pimpinan beliau difahami dan diterima rakyat.

“Saya ingin sembahkan ucapan menjunjung kasih kepada Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang banyak berikan bimbingan, nasihat serta semangat untuk saya terus berjuang,” katanya.

Muhammad Sanusi turut mengucapkan penghargaan kepada pengundi di negeri ini yang menunaikan tanggungjawab sehingga membolehkan PN kembali menerajui Kedah.

“Saya perlukan sokongan anda semua untuk teruskan cabaran, selain berdepan dengan kes mahkamah dan saman ratusan juta yang menanti. Namun saya tak akan menyerah begitu saja dan hadapi apa saja halangan dengan penuh yakin,” jelasnya.

Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat itu juga menyifatkan kemenangan PN di Kedah sebagai isyarat gabungan PH-BN belum mampu menyekat kebangkitan rakyat Kedah.

“Anda sudah buktikan apabila ditiup semangat kebangkitan Kedah seperti yang berlaku dalam PRN ini, kebangkitan itu akan berlanjutan dan terus mara untuk kita hadapi halangan bersama.

“Saya mahu wariskan negeri ini kepada generasi akan datang agar negeri ini selamat didiami. Kita bangsa bermaruah dan berintegriti, kita buktikan Kedah bukan bangsa yang boleh diarah atau tunduk kepada sesiapa,” katanya lagi.

Menurutnya, anak Kedah wajar memiliki sifat juang tinggi umpama pahlawan Melayu yang mempertahankan tanah air.

“Kita bangun melangkah, siapa halang kita suruh ke tepi, inilah bangsa pahlawan ‘fighter’. Orang lain tiada hak tentukan masa depan kita, kita yang tentukan masa depan sendiri.

“Saya beri jaminan kepimpinan sedia ada ini yang terbaik untuk terajui negeri agar terus makmur dan Kedah akan terus menjadi negeri orang miskin berteduh, orang kaya menabur bakti,” jelasnya menurut Sinar Harian.

Muhammad Sanusi tegaskan, biarpun PH hanya memenangi tiga kerusi DUN di Kedah, namun mereka tidak akan dianiaya dan kerajaan negeri akan berlaku adil kepada semua pihak.

“Kepada rakan PH, kita akan bentuk kerajaan di negeri ini dan saya janji tidak akan aniaya sesiapa pun, akan bersikap adil dan berkasih sayang seperti mana tuntutan ALLAH SWT,” ujarnya.