Sempena PRN, Polis lancar Op Lancar hari ini hingga Ahad

0
185

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menjangkakan aliran trafik di lebuh raya utama negara menuju ke selatan, utara dan pantai timur akan meningkat dengan lebih 2 juta kenderaan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, esok.

Sehubungan itu, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM akan melaksanakan Op Lancar bermula hari ini hingga Ahad ini bagi memantau dan mengawal kelancaran aliran trafik di enam negeri terbabit PRN iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Pengarah (1) Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nasri Omar, berkata JSPT menjangkakan berlakunya pertambahan aliran kenderaan sehingga 1.9 juta kenderaan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan 150,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Justeru, katanya, fokus utama JSPT adalah untuk memastikan aliran trafik yang lancar dan terkawal bagi semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi dan kembali semula ke ibu kota.

“Penugasan JSPT akan menumpu kepada negeri Terengganu, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan membabitkan lokasi di lebuh raya, jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran terutama kawasan hotspot yang berlaku kesesakan.

“Pemantauan juga termasuk susur keluar lebuh raya serta persimpangan yang membabitkan persimpangan lampu isyarat akan dibuat kawalan sekiranya terkesan menyebabkan kesesakan yang melampau,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, seramai 3,000 petugas JSPT membabitkan kekuatan daripada semua kontinjen termasuk bantuan sumber manusia daripada Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sudah diatur gerak.

“JSPT berharap kepada semua pengguna jalan raya yang pulang untuk mengundi di negeri yang dituju, selamat ke destinasi masing-masing.

“Sentiasa bertoleransi semasa pemanduan dan mematuhi peraturan lalu lintas serta arahan petugas PDRM di lapangan,” katanya, lapor BH Online.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here