Riza Chalid tubuh syarikat melombong REE, hari sama Anwar dinamakan sebagai PM, dedah Sanusi

0
292

TAIKUN Indonesia Muhammad Riza Chalid dilaporkan menubuhkan syarikat Triple Golden Innovation untuk melombong elemen nadir bumi (REE) di Kedah, dedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dalam satu ceramahnya.

Menteri Besar Kedah itu memberitahu, syarikat tersebut didaftarkan pada 23 November 2022, hari yang sama Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan sebagai perdana menteri ke-10.

Istana Negara mengumumkan pelantikan Anwar selepas beberapa hari berbincang, dengan pengerusi Pakatan Harapan mengangkat sumpah sehari kemudian, pada 24 November.

Syarikat tersebut diperbadankan di bawah Akta Syarikat 2016 dan beralamat di Jalan Sultan Azlan Shah yang mana Riza ialah pengarah syarikat.

“Mereka mari minta REE, yang mahu nafi kenapa. Bila Anwar Ibrahim dan (Datuk Seri) Saifuddin Nasution Ismail korek, orang akan korek,” katanya merujuk kepada penafian perdana menteri dan menteri dalam negeri itu berhubung penglibatan Riza untuk mendapatkan REE.

Riza sebelum ini dibawa Anwar menghadap Sultan Kedah pada 2 Oktober 2022 ketika masih ahli Parlimen Port Dickson.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya Perikatan Nasional (PN) sebelum ini mendakwa Riza ingin mendapatkan permohonan melombong REE di negeri itu dan Anwar menjadi ‘broker’ kepada taikun kontroversi itu.

Anwar bagaimanapun menafikan kenyataan menteri besar Kedah berkenaan.

Katanya, pertemuan dengan Sultan Kedah tiada kaitan dengan isu REE.

REE antara isu yang digunakan oleh Saifuddin sebagai bahan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, dengan mengaitkan Sanusi bersama seorang warga China, So Lai Fit.

Sebelum ini, Sanusi yang memfailkan saman terhadap Saifuddin mendedahkan hubungan Anwar dengan Riza

Sanusi berkata, penerokaan REE menjadi perlumbaan antara kuasa besar China dan Amerika Syarikat.

“Perang ekonomi kini berlaku kerana perebutan sumber-sumber ekonomi. Kita tak mahu tersepit di celah-celah ini.

“Kita hendak pilih kerajaan yang kuat yang boleh berkata ‘no’ kepada sesiapa pun yang membuat keputusan yang tidak menguntungkan kita,” tambahnya, lapor Malaysianow.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here