Tinjauan: Hanya 1 dari 4 orang Melayu puas hati prestasi Anwar

0
190

SEBUAH tinjauan mencadangkan hanya satu daripada empat orang Melayu, di negeri yang mengadakan pilihan raya Sabtu ini, berpuas hati dengan prestasi Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Dapatan itu berdasarkan tinjauan melibatkan 2,416 responden di Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor and Penang yang dijalankan oleh Ilham Centre, bulan lalu.

Responden dipilih secara pensampelan rawak berstrata.

Hanya 24 peratus orang Melayu berkata mereka berpuas hati dengan Anwar berbanding masyarakat Cina (88 peratus) dan India (81 peratus) yang amat positif.

Secara keseluruhan di enam negeri itu, jumlah responden yang berpuas hati dengan prestasi Anwar ialah 42 peratus, lapor MalaysiaKini.

Sebaliknya di negeri-negeri pembangkang mencatatkan kadar kepuasan hati yang agak rendah.

Responden dari Kelantan paling ramai tidak berpuas hati dengan Anwar, dengan 90 peratus menyatakan tidak berpuas hati, diikuti Terengganu (79 peratus) dan Kedah (73 peratus).

Bagaimanapun, kadar kepuasan hati terhadap Anwar adalah yang tertinggi di negeri kelahirannya di Pulau Pinang (70 peratus), diikuti Selangor (62 peratus) dan Negeri Sembilan (62 peratus).

Namun, peratusan itu diimbangi dengan penilaian berbeza di negeri-negeri yang ditadbir pembangkang.

Kajian juga mencatatkan penilaian responden terhadap prestasi kerajaan PH mendahului dan lebih baik secara keseluruhan berbanding negeri-negeri PAS-PN. 

Responden di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan menerima kadar kepuasan hati yang tinggi dalam kalangan penduduk negeri tersebut yang melibatkan soal kebajikan, usaha membangunkan ekonomi, bekalan air bersih, pengurusan tanah dan perihal tadbir urus am berbanding Kelantan, Terengganu dan Kedah.

57% setuju kekalkan kerajaan Kelantan

Bagaimanapun, dapatan mendapati hanya 57 peratus responden bersetuju bahawa kerajaan Kelantan perlu dikekalkan pada pilihan raya negeri akan datang.

Ini adalah penilaian terendah antara semua negeri.

Terengganu sedikit berbeza dengan 61.4 peratus dan Kedah 66 peratus.

Di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, sebahagian besar responden bersetuju bahawa kerajaan negeri perlu dikekalkan.

Menjawab soalan sama ada responden akan memberi undi kepada PH-BN, sejumlah besar di Kelantan (52 peratus) dan Terengganu (40 peratus) menjawab  “tidak pasti” berbanding terus menolak kemungkinan mengundi PH-BN.

Bagaimanapun, peratusan responden dari Kedah yang menjawab “tidak pasti” kepada soalan yang sama adalah lebih sedikit iaitu sebanyak 21 peratus.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here