Pereka bebas mengaku tak salah hendap jurugambar wanita diarah jalani pemeriksaan mental

0
147

SEORANG pereka bebas yang didakwa atas satu pertuduhan menghendap seorang jurugambar wanita selama hampir lapan tahun diarahkan untuk menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Lelaki berkenaan yang menjadi individu pertama didakwa mengikut Akta Anti-Menghendap itu diarahkan sedemikian selepas Majistret Sasha Diana Sabtu membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Zilfinaz Abas.

Zilfinaz memohon agar tertuduh itu dihantar ke hospital psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Terdahulu, tertuduh Mohamad Safiq Rosli, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan itu dibacakan di Mahkamah Majistret Shah Alam, pagi ini.

Seorang pereka bebas, Mohamad Safiq Rosli,37, didakwa atas pertuduhan menghendap seorang jurugambar wanita hampir lapan tahun ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Warta Rakyat

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa telah menganggu mangsa, Acacia Mardiana Daud secara berulang menerusi akaun Twitter @sopert99 milik tertuduh.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu dengan menghantar tiga komunikasi meluahkan perasaan cintanya kepada akaun Twitter @ShaForShizzle yang dibaca di sebuah kediaman di Kuala Lumpur yang mana tertuduh sepatutnya tahu gangguan tersebut boleh mendatangkan ketakutan ke atas mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan sekitar jam 1.40 pagi pada 15 Julai lalu sehingga sekitar pukul 5.58 petang pada 21 Julai 2023.

Justeru tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan menghendap di bawah Seksyen 507A (1) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 507A (3) Kanun yang sama.

Sabit kesalahan, tertuduh yang kini tidak bekerja itu boleh dipenjara sehingga tiga tahun, atau denda atau kedua-duanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here