Peguam Kanan UK Jonathan Laidlaw gagal rayuan wakili Najib

0
111

PEGUAM Kanan dari United Kingdom, Jonathan Laidlaw gagal dalam rayuannya untuk diterima masuk sebagai peguam bagi mewakili Datuk Seri Najib Razak dalam rayuan akhir kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

BH melaporkan,panel tiga Hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Hakim Datuk Zabariah Mohd Yusof, bersama-sama Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais sebulat suara membatalkan rayuan Laidlaw selepas membenarkan permohonan Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam dan Jawatankuasa Badan Peguam Kuala Lumpur.

Zabariah yang membacakan penghakiman panel, berkata tidak dipertikaikan bahawa rayuan akhir kes jenayah dan permohonan semakan Datuk Seri Najib Razak sudah diputuskan dan tujuan kemasukan Laiidlaw sebagai peguambela dan peguamcara di negara ini adalah untuk mewakili bekas perdana menteri dalam rayuan berkenaan.

Hakim itu berkata, sehubungan itu rayuan Laidlaw untuk diterima masuk sebagai peguambela dan peguamcara dengan ini adalah bersifat akademik.

Katanya, panel tidak dipengaruhi dengan hujahan peguam perayu bahawa kepentingan awam berbangkit daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak rayuan perayu (Laidlaw).

“Dengan ini, permohonan (membatalkan rayuan) ini dibenarkan dan tidak ada keperluan bagi kami untuk menimbangkan rayuan ini,” katanya.

Dalam prosiding yang dijalankan secara Zoom itu, Laidlaw diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan bertindak bagi pihak Jabatan Peguam Negara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here